Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Pasaran modal indeks FBM KLCI sudah menghampiri paras RM200 bilion untuk kembali berada pada kedudukan yang dicapai pada awal tahun ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pasaran ekuiti tempatan kini berada dalam sentimen positif, disokong oleh pelabur-pelabur runcit dan institusi tempatan.

FBM KLCI telah menunjukkan daya tahan pada akhir bulan Jun apabila muncul sebagai pasaran berprestasi terbaik dalam kalangan pasaran baharu muncul ASEAN.

Menurut beliau, fasa pemulihan Malaysia bermula pada 4 Mei lalu apabila sepanjang bulan itu, nilai purata dagangan harian (ADTV) meningkat sebanyak 65% berbanding bulan April.

Malah, pasaran menyaksikan nilai dagangan harian tinggi sebanyak RM9 bilion dengan nilai volum 11 bilion saham pada bulan yang sama.

”Kedudukan itu, tidak pernah dilihat sejak tahun 2010, menggambarkan pelabur-pelabur optimistik dengan pembukaan semula ekonomi Malaysia, disokong oleh persekitaran kadar faedah yang rendah,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Invest Malaysia Kuala Lumpur.

Tengku Zafrul menambah, dari segi perdagangan, pelabur runcit tempatan telah membeli bersih lebih daripada RM6 bilion pada akhir bulan Jun, dengan ADTV RM0.9 bilion.

Ia merupakan sekitar 90% ADTV institusi tempatan, disokong oleh pertumbuhan 128% ADTV berbanding pertumbuhan purata tahunan 9.7% sepanjang tiga tahun lalu.

”Di balik setiap krisis ada peluang. Kita percaya bahawa pelabur kembali ke pasaran Malaysia pada bulan Mei untuk melabur dalam syarikat yang dapat memberi keuntungan bukan hanya dari pembukaan semula ekonomi, tetapi juga daripada pelbagai langkah rangsangan dan insentif cukai yang ditawarkan oleh kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette