Ashley Young.
MILAN – Bekas kapten Manchester United, Ashley Young mengakui dia tidak pernah menyesal meninggal kelabnya itu pada Januari lalu untuk menyertai Inter Milan.
Malah pemain serba boleh itu itu menyifatkan Serie A lebih mencabar kerana mementingkan taktikal berbanding Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Datang ke Inter adalah peluang yang besar dan sebaik sahaja saya mendengarnya, saya segera bertanya di mana saya hendak tandatangan.
“Serie A lebih taktikal daripada Liga Perdana dan merupakan liga hebat yang saya ikuti selama bertahun-tahun.
“Kami adalah pasukan yang baik dengan pemain hebat dan saya yakin bahawa kami dapat memenangi liga dan Liga Europa, atau sekurang-kurangnya salah satu dari mereka. Kami berharap dapat mengakhiri musim ini dengan gelaran. Tahun depan adalah masa depan. Kami mahu menang sekarang,” kata pemain berusia 34 tahun itu.
Januari lalu, Young telah melengkapkan perpindahan secara rasmi ke Inter dengan nilai perpindahan dilapokan sekitar €1.5 juta.

Dia memutuskan untuk meninggalkan United dengan baki kontrak yang akan tamat pada akhir musim ini.

Dia telah bermain sebanyak 261 kali untuk United selepas menyertai dari Aston Villa pada 2011.

Pemain serba boleh itu memenangi Liga Perdana, Piala FA, Piala Liga, dan Liga Europa.

Young telah dipilih menjadi ketua pasukan United menggantikan Antonio Valencia dan itu kini akan digalas oleh Harry Maguire.

Pemain itu tertarik dengan tawaran Inter kerana kelab itu sanggup menawarkan dia kontrak setahun setengah dengan kontrak asas adalah enam bulan. – MalaysiaGazette