Armand Azha Abu Hanifah

KUALA LUMPUR – Kenyataan lantang Datuk Dr Abd. Latiff Ahmad yang mendakwa UMNO Sabah tidak laku telah menguris hati orang-orang UMNO di seluruh negara.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, UMNO adalah satu keluarga besar, ibarat cuit peha kanan peha kiri akan terasa.

Lantaran itu, beliau mendesak kepimpinan Perikatan Nasional (PN) khususnya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi pihak Menteri Pembangunan Luar Bandar itu untuk memohon maaf atas kenyataan yang dilihat angkuh dan sombong itu.

”Saya ingin mengingatkan beliau siapa musuh sebenar Perikatan Nasional kerana mungkin beliau terlupa atau terlepas pandangan kerana sedap duduk di kerusi empuk dipuncak kuasa. Musuh nyata Perikatan Nasional adalah Pakatan Harapan bukan rakan Perikatan Nasional yang menyumbangkan salah satu kerusi terbesar dalam Perikatan Nasional iaitu UMNO,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Armand yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang itu turut mengingatkan Abd. Latiff bahawa tanpa sokongan UMNO beliau tidak mungkin berdiri sebagai Menteri hari ini.

Sepatutnya sebagai Menteri di bawah Perikatan Nasional, Abd. Latiff wajib menunjukan contoh yang baik kepada rakyat Malaysia serta menjaga hubungan baik antara parti-parti dalam Perikatan Nasional bukannya mengeluarkan kenyataan terbuka yang dilihat kurang bijak dan tidak matang.

Sebagai Menteri Perikatan Nasional beliau sepatutnya menberikan pandangan dan cadangan demi kesejahteraan rakyat Malaysia dalam platform forum tersebut untuk meraih sokongan rakyat Malaysia bukannya mencipta keretakan dalam hubungan antara parti-parti PN.

Armand mengingatkan, UMNO dan BN mampu bangkit selepas kali pertama dalam sejarah negara hilang kuasa walaupun ada sebilangan kepimpinan ketika itu yang menang atas tiket UMNO dan BN kerusi Parlimen mahupun ADUN telah melompat meninggalkan parti pada saat parti diuji dengan pelbagai cabaran.

Jelasnya, hasil keyakinan serta komitmen semua peringkat dalam UMNO/BN maka wujudnya kerjasama antara UMNO dan Pas sebagai Muafakat Nasional (MN).

”Bermula daripada PRK Cameron Highland (Pahang), Semenyih (Selangor), Rantau (Negeri Sembilan), Tanjung Piai (Johor), Kimanis (Sabah) dan yang terbaru Chini ( ahang) semuanya telah dimenangi oleh UMNO/BN dengan kerjasama Pas dalam MN.

” Saya juga ingin mengingatkan pada YBM (Yang Berhormat Menteri) KPLB (Kementerian Pembangunan Luar Bandar) di mana dua PRK daripada enam PRK yang dikatakan, UMNO/BN telah berjaya menumpaskan parti yang YBM KPLB wakili iaitu Bersatu, Ini fakta bukan auta,” tegasnya. – MalaysiaGazette