PADA 16 September 2015, negara dikejutkan dengan penemuan mayat Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Datuk Kevin Morais di dalam sebuah tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya.

Sebelum itu dah kecoh habis satu Malaysia bila berita kehilangan Kevin menjadi bualan netizen. Bertambah kecoh bila mayatnya itu ditemui dalam keadaan ngeri.

Masa itu saya masih ingat lagi timbul pelbagai spekulasi…macam-macam.

Kononnya ada ahli politik terlibatlah, Kevin mangsa konspirasilah, itulah, inilah.

Akhirnya kita dapat tahu motif sebenar adalah kerana seorang Kolonel tentera, Dr R. Kunaseegaran yang bertugas sebagai Ketua Makmal Patology Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Wangsa Maju, BERDENDAM dengan Kevin kerana mendakwanya terlibat dalam kes rasuah berjumlah hampir RM700,000!

Kunaseegaran didakwa meminta dan menerima rasuah daripada pemilik syarikat persendirian sebagai dorongan bagi membolehkan syarikat terbabit membekalkan ubat-ubatan dan peralatan perubatan kepada hospital. Kemarahan Kunaseegaran memuncak sehingga sanggup melakukan jenayah yang cukup kejam ini.

Setelah lima tahun, hari ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akhirnya menjatuhkan hukuman mati terhadap pakar patologi tersebut dan lima lelaki selepas didapati bersalah membunuh Kevin.

Hakim Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Kunaseegaran, 57; pemberi pinjaman wang S Ravi Chandaran, 49; serta empat penganggur R Dinishwaran, 28; AK Thinesh Kumar, 27; M Vishwanath, 30 dan S Nimalan, 27.

Hakim Azman mendapati keenam-enam tertuduh mempunyai niat bersama untuk membunuh Morais.

Azman memutuskan bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes pendakwaan, dan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya tanpa keraguan yang munasabah.

Sejumlah 84 saksi termasuk 14 saksi dari pihak pembelaan, dibicarakan sejak perbicaaran dimulakan pada 6 April 2016.

Keenam-enam mereka dituduh membunuh Morais, 55, ketika dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya, di sini, ke nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 8 malam pada 4 Sept 2015.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, mereka akan dikenakan hukuman mati mandatori, jika didapati bersalah.

Dalam hal ini saya ‘angkat topi’ kepada pengawai penyiasat kes ini, ASP Wan Abdullah Wan Said dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul serta rakan-rakannya dari Bukit Aman kerana berjaya menjalankan tugas siasatan dengan sangat cemerlang sehingga membawa kepada penemuan mayat mangsa dan penangkapan semua suspek.

Bukan senang nak selesai kes ini, bayangkan mayat dalam tong simen pun Wan Abdullah dan rakan-rakannya boleh siasat dan cari sampai jumpa!

Selepas itu pula hendak menangkap seorang demi seorang, hendak soal siasat, hendak siapkan kertas siasatan (IP) segala ‘mak nenek’ itu juga adalah satu kerja yang cukup pening dan perit.

Apatah lagi ini satu kes pembunuhan berprofil tinggi dan satu Malaysia menanti bagaimana kesudahan kes yang menggemparkan ini.

Malah Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah memuji kepantasan PDRM menyelesaikan kes kehilangan dan pembunuhan berkenaan.

Sambil menyifatkannya sebagai kes berat, beliau berkata PDRM membuktikan kemampuannya mengendalikan penyiasatan hingga dapat menyelesaikan kes itu.

“Walaupun kes diklasifikasikan sebagai berat dan mayat mangsa disimen, dimasukkan dalam tong dan dicampak ke dalam parit, namun kecekapan PDRM (menyelesaikannya) harus dipuji,” kata beliau ketika itu.

Saya percaya, Wan Abdullah dan rakan-rakan sepasukannya telah menjalankan tugas siasatan mereka dengan sangat teliti dan terperinci sehingga membolehkan pihak pendakwaraya berjaya meyakinkan pihak hakim.

Ini bagi saya satu siasatan bermutu tinggi dan bukan calang-calang orang yang boleh melakukannya.

Wan Abdullah mengambil alih siasatan mengenai kes itu pada 16 September 2015.

Untuk rekod, Wan Abdullah dan pasukannya berjaya mengumpul dan mengemukakan 180 bahan bukti dalam kes ini termasuk dari lokasi Restoran Syed Bistro, di Kuala Selangor, Selangor, sebuah bengkel dan hotel di Petaling Jaya dan Hutan Melintang, Perak.

Antara bahan bukti yang ditemui adalah mesin canai dan barang peribadi mendiang Kevin seperti jam tangan, beg duit dan cincin.

Hendak buat pengecaman barang-barang bukti tersebut sahaja, Wan Abdullah terpaksa menghabiskan masa lima jam melakukannya di depan hakim!

Setinggi-tinggi syabas juga kepada pasukan pendakwaan yang terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin serta Wan Shaharuddin Wan Ladin yang telah melakukan penghujahan dengan kemas, penuh fakta hingga berjaya mematahkan hujah pihak pembelaan.

Kesemua tertuduh sepatutnya ‘bersatu’ untuk menentang hujahan pihak pendakwaan, namun sebaliknya mereka menyalahkan sesama sendiri ketika memberi keterangan.

“Hakikatnya ‘peluru’ pihak pendakwaan tidak berjaya dipatahkan (oleh pembelaan) dan tidak ada kesimpulan lain melainkan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” kata Saiful Edris.

Tahniah PDRM, tahniah Jabatan Kimia, tahniah pihak pendakwaraya…tahniah semua pihak yang terlibat secara langsung dan tak langsung sehingga kes berprofil tinggi ini berjaya diselesaikan dengan begitu bergaya sekali!

JUSTICE HAS BEEN SERVED…HATS OFF! – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

3 Komen

  1. Dan jgn lupa dgn fitnah Lim Kit Siang, Mat Sabu dan Nuar Berahim bhwa kes ini ada kaitan dgn 1MDB…cuba tanya balik kat Kit Siang tu..mana bukti pendrive yg dia gembar gemburkan??

  2. Berul tu bro,saya mati2 ingatkan dato sri najib yg bunuh masa tu,benar2 celaka PH memfitnah masa tu.

  3. Penjenayah di Malaysia semakin hari semakin hebat jenayah yang yang dilakukan. Di pihak PDRM pula agak profesional dalam bidang penyiasatannya dah berapa banyak kes2 yang telah berjaya. Diharap dapat dipertingkatkan lagi agar jenayah dapat dikurangkan. Oleh itu betapa pentingnya undang2 dan hukuman yang sangat berat dikenakan disamping ciriciri keselamatan yang ada.

Comments are closed.