Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah semasa sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 06 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Sidang Media Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama tiga hari seminggu akan dihadkan kepada dua hari seminggu sahaja mulai minggu depan.

Dua hari itu ialah Selasa dan Jumaat sahaja, kata Ketua Komunikasi Korporat KKM, P. Yamuna dalam kenyataan hari ini.

Ini bermakna sidang media yang berlangsung setiap jam 5 atau 5.30 petang pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah akan berlangsung dua hari sahaja selepas ini.

Menurut Yamuna, perkembangan Covid-19 pada hari-hari lain pula akan dibuat menerusi kenyataan media seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Kenyataan akhbar daripada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia berhubung perkara di atas akan dikeluarkan setiap hari mulai pukul 5 petang,” katanya.

Pada 15 Jun lalu, KKM memaklumkan perubahan pada jadual laporan sidang media harian Covid-19 oleh Noor Hisham kepada tiga hari seminggu sahaja iaitu setiap Isnin, Rabu dan Jumaat berbanding setiap hari seperti sebelum itu.- MalaysiaGazette