Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun (tengah) ketika Majlis Jamuan Minum Petang bersama Pengarah-Pengarah JKM dari seluruh negara di Alor Setar, Kedah semalam.

ALOR SETAR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan melakukan penstrukturan semula Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam usaha penambahbaikkan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, penyusunan semula itu masih dalam peringkat perbincangan.

“Sejak pandemik Covid-19 melanda negara kita sejak tiga bulan yang lalu hingga kini, saya merasa sudah sampai masanya
kementerian melihat semula peranan JKM untuk diberi pengiktirafan dengan usaha dan tanggungjawab mereka selama ini.

“Jujurnya, saya terharu melihat usaha dan pengorbanan wira negara kita sejak kerajaan melaksanakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sehingga PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan) mereka tetap memastikan masyarakat yang terjejas akibat Covid-19 terus dijaga kebajikan dengan bantuan bakul makanan,” katanya meraikan jamuan minum petang bersama Pengarah-Pengarah JKM dari seluruh negara di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah JKM, Zulkifli Ismail.

Rina juga sebak selepas melihat sendiri setiap kali melakukan kunjungan ke tempat-tempat yang terkesan teruk dengan Covid-19 dan adakalanya warga JKM ini ada kalanya dilemparkan dengan kata-kata negatif.

“Namun mereka tabah dan tetap melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa merungut apa-apa,” katanya.

Tambah Rina, beliau sentiasa mempertahankan warga JKM pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) setiap kali timbul pelbagai isu membabitkan mereka.

“Saya tetap menganggap mereka adalah wira negara kerana tanpa mereka masakan sudah lebih satu juta isi rumah dari seluruh negara yang terkesan menerima bakul makanan ketika masyarakat tidak dibenarkan keluar rumah.

“Walaupun menerima pelbagai kecaman, namun tahap kesabaran mereka sangat tinggi dan sikap mulia mereka ini perlu diberi pengiktirafan,” katanya.- MalaysiaGazette