Penyanyi Adibah Noor.

KUALA LUMPUR – Akaun Instagram penyanyi, Adibah Noor digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab selepas dia percaya dengan permintaan untuk mendapatkan pengesahan daripada pentadbir media sosial itu.

Adibah atau nama sebenarnya Adibah Noor Mohd Omar berkata, gara-gara insiden itu, dia kehilangan semua gambar kenangan buat selama-lamanya dan kini terpaksa membuat akaun Instagram yang baharu.

“Hi gais… Instagram saya adibah_noor tidak lagi wujud. Betapa bodohnya saya percaya dengan permintaan ‘verication’ (pengesahan).

“Sekarang semua gambar dan post memori sudah tiada lagi selama-lamanya. Akaun baharu saya adalah @adibahnoormohdomar. Sekadar kalau anda nak mengikuti,” tulisnya.

Sementara itu, Adibah mengakui dia mudah ditipu kerana terlalu panik akaun laman sosialnya akan ditutup dalam tempoh 24 jam jika tidak mengikut arahan penggodam tersebut.

Malah penyanyi yang popular dengan lagu Terlalu Istimewa telah menjangkakan penggodam tersebut meminta wang jika ingin mendapatkan semula akaun laman sosialnya itu.

“Bila tak buat ‘verication’ mereka akan ugut nak tutup akaun dalam tempoh 24 jam la apa la. Jadi, anda pun kelam kabut la buat apa yang disuruh.

“Tukar kata kunci banyak kali bagi kod pengesahan.. (yeay saya sangat mudah ditipu). Akhirnya… sampai emel anda pun yang berhubung dengan Instagram anda mereka tukar.

“Kalau ada pihak ‘Instagram’ suruh buat pengesahan bagai… jangan percaya. Menipu saja. Sekarang akaun Instagram saya adibah noor dah disimpan mereka.

“Seperti yang dijangka, penggodam mahukan duit untuk kembalikan akaun saya. Tiada kejutan. Jadi, ini adalah akaun baharu sekarang” tulisnya yang berusia 50 tahun. – MalaysiaGazette