Sebahagian pelajar berbaris pada pergerakan pulang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPT) dan swasta (IPTS) termasuk politeknik serta kolej komunit ke kampung halaman masing-masing susulan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 27 APRIL 2020

KETIKA Menteri Pendidikan, Dr. Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan bahawa sekolah akan dibuka, reaksi yang ditunjukkan oleh kebanyakan orang termasuklah daripada pihak ibu bapa sendiri boleh dikatakan amat baik dan positif. Bahkan ramai yang menyambut baik kenyataan tersebut.

Hal ini sangat berbeza jika dibandingkan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad pada 8 Julai yang lalu berkenaan kenyataan pembukaan Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Beliau menyatakan bahawa IPT akan dibuka semula bermula Julai ini, dibuka secara berperingkat mengikut kategori pelajar seterusnya diikuti dengan pembukaan secara menyeluruh pada bulan Oktober akan datang.

Ekoran daripada sidang media Dato’ Dr. Noraini Ahmad, timbul pelbagai polemik dan maklum balas terutamanya daripada kalangan mahasiswa itu sendiri. Ramai mahasiswa tampil menyatakan reaksi mereka berkenaan kenyataan pembukaan IPT; ada kelompok yang bersetuju kerana suara mereka didengari, terutamanya mahasiswa dalam kalangan B40.

Malahan, tidak kurang juga suara-suara mahasiswa yang membantah dengan kenyataan tersebut atas beberapa faktor seperti sudah membatalkan kontrak rumah sewa, pengosongan kolej baru sahaja dibuat termasuklah faktor-faktor lain seperti keadaan keluarga mahupun kewangan yang tidak begitu mengizinkan.

Jika dibandingkan antara percaturan yang disusun antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), tidak dapat dinafikan bahawa strategi pembukaan institusi pendidikan yang dibuat oleh KPM adalah lebih teratur dan lebih jelas berbanding penyusunan pembukaan IPT daripada pihak KPT.

Polemik yang timbul susulan daripada isu pembukaan IPT ini terjadi atas beberapa sebab. Pertama, berlaku ketidakselarasan antara kenyataan yang dikeluarkan oleh KPT dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini. Kedua, terdapat arahan yang berbeza-beza dikeluarkan oleh pihak pengurusan bagi setiap universiti, dan ini termasuk juga dengan arahan yang keluar daripada Naib Canselor Universiti.

Jika dilihat bagaimana KPM menguruskan isu pembukaan sekolah, maka ia adalah sesuatu yang wajar dipuji. Pihak KPM terlebih dahulu melakukan kajian-kajian tertentu secara mendalam sebelum mengumumkan bahawa sekolah akan dibuka dengan mengambil kira pandangan guru, aspek pelajar, persekitaran sekolah dan sebagainya.

Bahkan sebelum sekolah-sekolah dibuka, Yang Berhormat Menteri, Dr. Mohd Radzi Jidin mengambil pendekatan untuk tampil memberikan gambaran awal serta kefahaman kepada ibu bapa, guru dan pihak pengurusan sekolah. Justeru dalam tempoh itu, orang ramai sudah jelas bahawa sekolah akan dibuka dalam masa terdekat dan mereka lebih bersedia. Buktinya, sebelum sekolah dibuka, bukanlah sekali dua Menteri KPM ini muncul dalam sidang media bagi menjelaskan soal keselamatan anak-anak, tetapi berkali-kali!

Berbeza sekali dengan KPT. Saya fikir bahawa sidang media pada 8 Julai baru-baru ini merupakan sidang media yang julung kalinya diadakan oleh KPT. Seterusnya, pihak KPT kemudian terus mengumumkan bahawa institusi-institusi pengajian tinggi akan dibuka tanpa adanya penerangan mendalam berkenaan persediaan universiti, pergerakan para pelajar, adakah ada pilihan lain bagi mod pembelajaran, serta bagaimana dengan kaedah perlaksanaan pembukaan universiti itu.

Golongan mahasiswa kekal bersuara mengenai polemik pembukaan universiti dengan beberapa aspek masih menjadi tanda tanya. Terdapat pelbagai respon daripada kalangan mahasiswa sehingga ada yang menggelarkan Dato’ Dr. Noraini sebagai ‘Menteri TikTok yang tidak berfikir panjang.’ Justeru untuk itu, ada baiknya jika kemunculan sosok Dato’ Dr. Noraini ditampilkan untuk keluar di kaca televisyen dan media-media seterusnya memenuhi ruang dan sesi perbincangan secara dua hala bagi memberikan penjelasan lanjut mengenai tatacara pembukaan universiti. Tiada salahnya jika watak Menteri Pengajian Tinggi ini dikedepankan sepertimana Menteri Pendidikan.

Dengan portfolio yang dipegang oleh beliau, beliau seharusnya dapat memanfaatkan saluran media arus perdana seterusnya menjelaskan secara lebih terperinci berkenaan keputusan KPT dengan persetujuan Jemaah Menteri bahawa IPT akan dibuka disamping mendengar dan mengambil kira pandangan beberapa aspek yang lain.

Watak beliau mungkin adalah yang dinanti-nantikan di Astro Awani, Bernama TV, mahupun Bicara Naratif di TV1.

SOFIYA TAMIZI,
Penulis merupakan mahasiswi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan aktivis Nadi Mahasiswa Malaysia.