Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Kedudukan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Speaker Dewan Rakyat tidak akan tergugat jika Tun Dr Mahathir Mohamad tidak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

”Semua ini berlaku kerana Tun berhenti sebab itu berlaku perubahan Speaker.

”Kami BN, Pas, GPS telah diminta untuk menyokong Tun sebagai Perdana Menteri tetapi Tun mengundurkan diri, jadi kami terpaksa memilih orang lain, kata Datuk Seri Shahidan Kasim (BN-Arau) semasa membahaskan usul Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menggantikan Mohamad Ariff sebagai Speaker di Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mencelah turut memaklumkan beliau juga mahu Dr Mahathir terus menjadi Perdana Menteri.

“Kami memang mahukan Tun lagi tapi Tun yang mahu mengundurkan diri. Apabila kerajaan baharu dibentuk, jadi tidak salah lantik Speaker baharu,” katanya.

Malah, Bung turut mengungkit pelantikan Latheefa Koya di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Tan Sri Tommy Thomas ‘rock and roll’ sebagai Peguam Negara.

“Tapi kami tidak persoalkan Tun pun.

“Sekarang ini, Perdana Menteri mahukan seorang Speaker yang sehaluan dengan kerajaan demi kepentingan rakyat. Apa masalahnya,” tambah Bung lagi.

Pada peringkat ini, Shahidan meminta Dr Mahathir menjelaskan peletakan jawatan beliau.

Dr Mahathir yang bangun kemudian memberitahu, beliau tidak boleh bekerjasama dengan UMNO sekarang.

“Saya memang memilih juga dengan siapa untuk bekerjasama, apabila diberi pilihan untuk bekerjasama dengan UMNO, tapi UMNO hari ini bukan UMNO yang ditubuhkan dulu.

“UMNO hari ini telah di ‘hijack’ oleh orang-orang tertentu, oleh itu saya tidak boleh terima,” kata bekas Perdana Menteri dua kali itu.

Lantas, Bung Moktar sekali lagi bangun dan berkata, mereka juga mengikuti teladan yang ditunjuk oleh Dr Mahathir.

Katanya, Dr Mahathir yang mengajar mereka bagaimana untuk menggerakkan UMNO.

“Kami hanya mengikut ajaran Tun,” ujarnya.

Dr Mahathir sebelum it juga membahaskan usul penggantian Speaker dengan mempertahankan kedudukan Mohamad Ariff.

Hujah beliau, tidak ada keperluan menggantikan Mohamad Ariff sekadar dengan alasan ada calon lain.

“Kalau Speaker meninggal dunia atau uzur, maka boleh kita menggantikannya, bukan kerana Muhyiddin ada calon lain,” kata beliau. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Setiap kali pemerintah bertukar pasti semua jawatan penting seperti Hakim negara. Peguam negara. Speaker Dewan Rakyat Dan Ketua2 jabatan yang Penting. Harus lah ditukar. Itu ada lah perkara biasa bagi Setiap pemerintah yang baru. Supaya Pentadbiran berjalan dengan lancar.

Comments are closed.