Datin Seri Rosmah Mansor.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes rasuah membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor yang masuk hari ke-16 hari ini dijangka akan menjadi lebih menarik dengan kehadiran saksi pendakwaan iaitu Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Rosmah yang merupakan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika ini sedang berdepan dengan dengan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Saidi bagi dan pemasangan tenaga solar.

Semalam, saksi ke-12, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Seri Alias Ahmad diasak berkali-kali oleh peguambela, Datuk Akberdin Abdul Kadir berikutan keterangan yang diberikan olehnya seolah-olah bercanggah dan konsisten.

Malah ada satu ketikanya, Alias kelihatan begitu teragak-agak dan kaget apabila di soal seandainya beliau mengenali Saidi memandangkan ada dakwaan beliau bermain golf selain menjemputnya ke majlis perkahwinan anaknya sebelum ini.

Walaupun pada awalnya, Alias menafikan ada mengenali Saidi yang kemudiannya memberitahu Saidi adalah kenalan kepada bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Malah dakwa Alias, Saidi hadir ke majlis perkahwinan anaknya kerana mengikut Mahdzir, namun kemudian menukar kembali keterangan itu sambil mendakwa ada kemungkinan pembantunya ‘tersilap’ menjemput Saidi.

Akberdin terus menekan Alias adakah beliau sebenarnya cuba menjadikan Rosmah sebagai ‘kambing hitam’ dan melepaskan dirinya  daripada dikaitkan dengan penipuan kontrak projek solar berkenaan, oleh Jepak Holdings.

Juga adakah saksi bersama-sama bekas Menteri Pendidikan bersekongkol dalam melindungi Saidi.

Bagaimanapun saksi berterusan mengatakan ‘tidak’ walaupun dalam keadaan begitu teragak-agak serta sedikit tegang.

Terdahulu, Akberdin juga bertanyakan mengapa Alias mahupun KPM tidak bertindak membuat laporan polis sahaja selepas mendapat tahu wujudnya perubahan pada kontrak solar membabitkan Jepak Holdings.

Antara perubahan itu merangkumi skop kerja, syarat kontrak untuk reka bentuk dan pembinaan, serta peruntukan khas penyelenggaraan.

Apabila perkara itu diketahui oleh KPM, selepas bermesyuarat beberapa kali pihaknya telah memutuskan tiga langkah yang harus diambil antaranya melakukan siasatan dalaman, meminda kontrak berkenaan dan membuat laporan polis.

Namun Alias mengakui sehingga bersara, beliau tidak pernah membuat laporan polis walaupun sedia maklum dengan apa yang telah berlaku berhubung pindaan kontrak tersebut.

Ketika itu Alias sekali lagi memberikan alasan ada kemungkinan laporan polis tidak dilakukan kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mula menyiasat tentangnya.

Bagaimanapun, Akberdin mengingatkan saksi bahawa ketika itu SPRM belum lagi mula menyiasat tentangnya pada masa itu.

Rosmah didakwa telah menerima suapan rasuah daripada Saidi menerusi bekas pembantu, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosmah sepatutnya dibicarakan bersama Rizal, yang menghadapi empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak Rosmah berhubung projek berkenaan.

Namun pada 8 Januari lepas mahkamah melepas dan membebaskan Rizal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan. – MalaysiaGazette