Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Selepas negara menyaksikan sifar kes penularan tempatan Covid-19 semalam, hari ini perkembangan terbaharu pandemik di dalam negara kembali merekodkan tiga kes positif penularan dalam kalangan warganegara tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatannya Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setakat 12 tengahari ini, sebanyak lima kes positif baharu Covid-19 dilaporkan di negara ini.

Ia sekaligus menjadikan kumulatif kes Covid-19 di dalam negara adalah sebanyak 8,734 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 86 kes yang mana Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Ingin dimaklumkan daripada lima kes baharu yang dilaporkan, satu kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan bukan warganegara Malaysia yang dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja.

“Daripada empat lagi kes penularan di dalam negara pula, satu kes adalah melibatkan bukan warganegara iaitu kes saringan bergejala di Kuching, Sarawak yang mana beliau telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan.

“Tiga kes lagi adalah dalam kalangan warganegara Malaysia iaitu satu kes saringan pra pembedahan di Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan media perkembangan jangkitan harian Covid-19 yang dikeluarkan di kementerian Kompleks E, Putrajaya di sini.

Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat dua kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Kata Noor Hisham, ia sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,526 kes (97.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Dalam perkembangan tiga kes tersebut, katanya dua lagi kes penularan dalam kalangan warga tempatan berlaku di Sarawak iaitu satu kes saringan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-8,732).

“Satu lagi kes adalah kes saringan petugas kesihatan di sebuah pusat perubatan.

“Sehingga kini, terdapat lima kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini menjadikan angka kematian akibat virus itu di Malaysia adalah kekal sebanyak 122 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” tegasnya.- MalaysiaGazette