Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Seramai 23, 955 rakyat Malaysia yang terkandas di 82 buah negara akibat penularan Covid-19 telah berjaya dibawa pulang.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, kesemua mereka dibawa pulang menerusi pelbagai cara termasuk menerusi bantuan dari pihak swasta, kerajaan serta penerbangan ehsan oleh rakan-rakan negara.

Terbaru kata beliau, seramai 143 rakyat Malaysia yang terkandas di Jordan akibat Covid-19 telah selamat tiba di tanah air pada pukul 7 malam semalam.

“Mereka pulang dengan menaiki pesawat Royal Jordanian yang telah diatur oleh Kedutaan Diraja Thailand di Amman bagi membawa pulang 120 orang rakyat Thailand yang turut terkandas di Jordan.

“Saya bagi pihak kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Thailand khususnya rakan sejawat saya, Menteri Luar Thailand, Tuan Yang Terutama Don Pramudwinai kerana sudi bekerjasama rapat dengan menumpangkan rakyat Malaysia untuk pulang ke tanah air,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, kesemua rakyat Malaysia yang pulang itu menanggung sendiri sepenuhnya kos penerbangan masing-masing manakala, kerajaan Malaysia khususnya Wisma Putra tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, terdapat 317 orang rakyat yang diklafikasikan sebagai terkandas di 37 buah negara.

Katanya, daripada jumlah itu, 191 orang dikategorikan sebagai berada dalam situasi kritikal.

“Daripada 191 ini, 189 orang merupakan Jemaah Tabligh rakyat Malaysia masih berada di India. 157 berada di New Delhi, 23 di Chennai dan sembilan di Mumbai.

“Semua Jemaah Tabligh ini telah terkandas di India sejak negara tersebut melaksanakan penguatkuasaan peraturan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 bermula Mac 2020.
“Kebanyakan Jemaah Tabligh ini ditahan atas tuduhan menyalahgunakan visa lawatan sosial bagi menjalankan aktiviti keagamaan,” ujarnya.

Dalam pada itu Hisamuddin menegaskan, rakyat Malaysia perlu faham bahawa mereka yang ditahan sememangnya bersalah kerana telah melanggar undang-undang kerajaan India.

“Setakat hari ini, saya telah dimaklumkan bahawa seramai 125 Jemaah Tabligh di New Delhi telah menjalani proses perundangan dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut pada 9 dan 10 Julai 2020,” katanya.

Tambah beliau lagi, ketika ini, Wisma Putra sedang menyelaras usaha membawa pulang semua Jemaah Tabligh menerusi satu pesawat sewaan khas pada 17 Julai 2020.

Kataya, jumlah jemaah tabligh yang dijangka dibawa pulang menerusi pesawat ini adalah seramai 136 orang, termasuk 9 orang yang berada di Kolkata dan 2 orang di Sahranpur.

Jelasnya, Wisma Putra melalui perwakilan-perwakilan Malaysia di India akan terus memantau rapat perkembangan kes mereka dan memberikan bantuan konsular sewajarnya, bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara.

Ia termasuk menghulurkan bantuan dari segi makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan asas harian, katanya.

“Perwakilan-perwakilan kita di India telah berusaha keras dan melakukan pelbagai pendekatan serta mengeluarkan kos yang besar untuk mendapatkan khidmat guaman bagi membela mereka dengan sebaiknya dalam isu ini serta menyediakan penginapan yang bersesuaian.

“Saya memohon agar ahli keluarga serta waris dapat bersabar dan sama-sama kita berdoa agar urusan membawa pulang mereka yang ditahan ini membuahkan hasil secepat yang mungkin,” katanya. – MalaysiaGazette