Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersidang pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneruskan usaha meningkatkan tadbir urus dan integriti melalui pelaksanaan Pelan Anti-rasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

Perdana Menteri, Tan Sri Muyiddin Yassin berkata, langkah itu diambil bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan pengurusan kerajaan berteraskan prinsip integriti dan anti-rasuah.

Malah katanya, ia juga selaras dengan titah Yang diPertuan Agong semasa Sidang Pembukaan Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 pada 18 Mei lalu agar kerajaan terus melaksanakan NACP.

“Sehingga 31 Mei 2020 sebanyak 28 inisiatif di bawah enam strategi pelaksanaan NACP berkenaan telah selesai dilaksanakan iaitu tadbir urus politik (13 inisiatif), pentadbiran sektor awam (3), perolehan awam (4), perundangan/kehakiman (1), penguatkuasaan undang-undang (5) dan tadbir urus korporat (2),” katanya ketika membahaskan usul titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen (Beufort-Bersatu), Datuk Azizah Mohd Dun yang meminta Perdana Menteri menyatakan komitmen kerajaan dalam menangani isu integriti dan rasuah dalam negara yang kini dilihat lebih tertumpu kepada ekonomi dan kesihatan akibat Covid-19.

Muhyiddin menambah, bagi memastikan hasrat kerajaan itu dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan, peranan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) sebagai Sekretariat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) dikekalkan.

Katanya, KKMAR dipertanggungjawabkan menyelaras pelaksanaan, memantau dan menilai keberkesanan semua inisiatif berkaitan governans, integriti dan anti-rasuah di semua sektor sama ada Kerajaan mahupun swasta.

Manakala, Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR) yang dilaksanakan di beberapa peringkat Kementerian dan Jabatan juga akan diteruskan bagi memastikan dasar yang dibuat tidak berkompromi kepada sebarang tindakan rasuah, kataya.

Tambah beliau, kerajaan akan terus memantau semua inisiatif di bawah JKKMAR dan NACP bagi memastikan pelaksanaannya membawa impak yang positif kepada negara.

“Semua pendekatan dan usaha ke arah membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa akan diberikan penekanan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui dasar-dasar yang telah dipersetujui seperti yang dinyatakan dalam inisiatif NACP 2019 – 2023.

“Ini termasuk inisiatif NACP yang terbentuk berasaskan laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui penyataan United Nations Convention on Anti Corruption (UNCAC).

“NACP 2019 – 2023 dibuat dengan mengambil kira piawaian laporan antarabangsa PBB melalui UNCAC.

“Namun, perkara-perkara yang telah dirangka tidak mengabaikan piawaian dari konteks amalan tempatan yang lebih bersifat praktikal dan mampu mengatasi pencapaian berdasarkan piawaian di peringkat antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette