KUALA LUMPUR – Satu kluster baharu dikesan di sebuah pasar di Stutong, Sarawak selepas dua peniaganya didapati positif Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatann, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 54 penjaja yang disaring didapati negatif virus tersebut.
“Sehingga 18 Julai 2020 jam 12 tengah hari, 218 orang penjaja telah disaring, iaitu terdiri daripada 213 warganegara Malaysia dan lima bukan warganegara.
“Tiga daripadanya adalah warga China, satu warga Indonesia dan satu warga Vietnam. Daripada jumlah saringan ini, 56 orang telah disampel.
“Keputusan persampelan setakat ini mendapati dua daripada positif Covid-19 dan 54 pula negatif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Noor Hisham, kluster ini dikesan hasil saringan Covid-19 bagi penjaja-penjaja pasar tersebut yang dikenalpasti sebagai salah satu kumpulan sasar dalam pendekatan tertumpu.
“Pasar ini telah ditutup buat sementara waktu bagi pelaksanaan aktiviti pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman.
“Punca jangkitan kluster adalah masih di dalam siasatan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai Kluster Mambong, beliau berkata, setakat pukul 12 tengahari ini, sebanyak lima kes positif Covid-19 telah dilaporkan daripada 70 orang yang telah disaring.
“Seramai 65 orang masih menunggu keputusan.
“Kluster ini melibatkan warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara, iaitu warga Filipina yang merupakan kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-8732).
“Punca jangkitan kluster masih dI dalam siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette