KUALA LUMPUR – Bayangan serta memuat naik gambar termasuk menempah baju kahwin oleh Zarina Anjoulie sebelum ini seolah-olah mengesahkan dia selamat mendirikan rumah tangga bersama Eilyas Azhar atau lebih dikenali sebagai Yas.
Menerusi Insta Story, Zarina dilihat memuat naik video dirinya berbusana pengantin serba putih bersama kekasih hati di Pejabat Agama Islam Daerah Seremban, Negeri Sembilan.
Menerusi perkongsian itu,dapat dilihat pasangan itu seakan sudah bernikah dan melangsungkan pernikahan tersebut di Pejabat Agama itu memandangkan bapa Zarina turut kelihatan berada di sana untuk mewalikan anaknya.
Bagaimanapun, setakat ini masih tiada kenyataan rasmi daripada Zarina berhubung perkara itu.
Sebelum ini, Zarina pernah mendedahkan yang dia dan teman lelakinya hampir menjalani kursus kahwin.
Bagaimanapun, hasrat kedua-dua mereka itu terpaksa ditangguhkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Untuk rekod, Zarina pernah mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki namun rumah tangganya itu berakhir pada Disember 2016. – MalaysiaGazette