abatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mahukan keadilan untuk anggotanya Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim terlaksana walau apa juga kaedah yang diambil pihak berkuasa dalam menentukan punca kematiannya.
Laporan Penuh Jawatankuasa Khas Siasatan Kes Kematian anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dijangka akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri bulan hadapan.

IPOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyerahkan kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim untuk mengambil tindakan sivil bagi menuntut ganti rugi atas kegagalan dan kecuaian pihak polis sehingga menyebabkan kematian anggota bomba itu.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata keluarga Muhammad Adib berhak mendapat keadilan di atas kematiannya.

“Keluarga Muhammad Adib tidak berjumpa dengan saya, cuma dia (keluarga) dan rakyat inginkan keadilan bagi Adib. Kita tidak tahu sebab kematian, sebab itu kita perlukan keadilan,” katanya kepada pemberita selepas melawat  Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya di sini hari ini.

Jumaat lalu, media melaporkan keluarga Muhammad Adib akan mengambil tindakan sivil bagi menuntut ganti rugi atas kegagalan dan kecuaian pihak polis sehingga menyebabkan kematian anggota bomba berumur 24 tahun itu pada 17 Dis 2018 setelah parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan bahawa kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Ditanya sama ada KPKT menyokong tindakan keluarga Muhammad Adib itu, Ismail berkata pihaknya menyerahkan perkara tersebut kepada undang-undang.

Menyentuh mengenai cadangan KPKT untuk meningkatkan kadar elaun tugasan anggota bomba bantuan, beliau berkata perkara itu telah dibincangkan di peringkat kementerian.

Tanpa mengulas hasil perbincangan itu, Ismail berkata kenaikan elaun tersebut adalah wajar kerana anggota bomba terbabit menjalankan kerja kira-kira lapan jam sehari dengan elaun RM6 sejam berbanding pasukan lain seperti Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia dan Anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA) yang mendapat RM8.

“Kita bukan nak mendesak kerajaan, kita tahu kerajaan perlukan kewangan tetapi atas tanggungjawab kita sebagai kementerian, maka kita wajar membela pasukan bomba bantuan ini,” katanya.

Bulan lepas, Ismail berkata KPKT akan membawa cadangan meningkatkan kadar elaun tugasan anggota bomba bantuan untuk dibincangkan di peringkat kabinet.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast