Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia telah menahan 383 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 328 telah ditahan kerana melakukan aktiviti dalam pub atau kelab malam.

Seramai 55 individu lagi ditahan ketika melakukan aktiviti yang melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial dan aktiviti yang melanggar prosedur standard operasi (SOP).

“Semalam (19 Julai 2020), PDRM telah menahan 383 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP. Daripada jumlah itu, seramai 32 individu telah direman manakala 351 individu lagi dikenakan kompaun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, pihak polis juga telah berjaya menahan 14 waganegara asing di atas kesalahan imigresen semalam.

Tambahnya, PDRM telah membuat 65 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 36,001 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus. PDRM telah berjaya menahan 14 warganegara asing atas kesalahan imigresen.

“Orang ramai boleh melaporkan sebarang aktiviti kemasukan atau pencerobohan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke hotline National Task Force di talian 011-6251 1223,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air, Ismail Sabri memaklumkan semalam seramai 1,062 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dan KLIA2 dari Indonesia, Taiwan, Qatar, UAE, Singapura, Australia, Filipina, New Zealand, China, Hong Kong dan Mesir.

Seramai 1,061 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka (home quarantine), manakala 1 individu telah dibawa ke hospital.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast