BANGI- Seorang peniaga Bazar Malam Seksyen 9, Bangi terpaksa memajak emas pusaka untuk membayar sewa tapak dan modal perniagaan tetapi malangnya masih tidak dibenarkan berniaga.
Berbekalkan semangat yang hampir luntur kerana tempoh lesen hampir tamat 10 hari lagi, Mohd Asri Zakaria meluahkan rasa tertekan dan kecewa apabila dimaklumkan Majlis Perbandaran Daerah Kajang (MPKj) tapak itu masih belum boleh dibuka semalam.
“Bayangkan, sudahlah saya terpaksa bergolok gadai, sifar pendapatan pula sepanjang tiga bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kini tinggal 10 hari sahaja lagi lesen untuk kami berniaga.
“Emas pusaka telah habis digadai. Kini tidak ada apa lagi yang boleh digadai. Ini bukan sahaja menindas dan menganiaya kami malah amat amat zalim sekali.
“Kami peniaga amat berharap tapak ini dibuka serta merta, khususnya sekarang sudah dekat Hari Raya Aidiladha sekurang-kurangnya adalah sedikit wang untuk menampung hidup kami,” katanya ketika ditemui semalam.
Malaysia Gazette beberapa hari lalu mendedahkan 300 peniaga Bazar Malam Seksyen 9, Bangi hanya dibenar niaga tiga hari walaupun sewa tapak setahun, dipercayai ada tangan ghaib yang menghalang mereka untuk beroperasi di tapak berkenaan.
Tambah Mohd Asri, anehnya peniaga asing dibenarkan berniaga tetapi rakyat warganegara bumiputera Selangor tidak dibenarkan.
Sementara itu, masalah yang dihadapi oleh peniaga pasar malam itu mendapat perhatian Ahli Majlis Perbandaran Daerah Kajang (MPKj), Fauzi Hasim.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Amanah Selangor turut berterima kasih kepada pihak penganjur tapak bazar malam, Eta Global Resources Sdn Bhd yang mengadakan majlis dialog antara peniaga, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan wakil MPKj kerana menerusinya banyak maklumat rakyat disampaikan secara langsung.
“Jika saya ada kuasa, sudah tentu hari ini juga saya benarkan peniaga berniaga tetapi saya perlu terlebih dahulu bawa isu ini ke mesyuarat bersama Ahli Majlis dan Yang DiPertua MPKj.
“Setelah diteliti ada beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan oleh pihak penganjur sebelum operasi perniagaan dibenarkan di tapak ini.
“Saya juga Ahli Majlis bahagian perlesenan tetapi isu ini perlu dibincangkan dengan beberapa lagi ahli Majlis lain dan saya memahami situasi tertekan rakyat yang bergantung harap kepada tempat ini untuk mencari rezeki,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Eta Global Resources Sdn Bhd, Datuk Mohd Shah berkata, pihaknya agak kecewa kerana syarat teknikal tidak pernah diberitahu sebelum lesen diberikan dan hanya diketahui selepas diberi lesen dan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP).
“Bukannya kami tiada pengalaman dalam penganjuran tapak niaga ini sudah masuk 17 tahun, agak terkejut apabila perkara ini berlaku tambah pula sewa tapak hanya setahun dan akan tamat Oktober ini.
“Agak aneh banyak bayaran dikenakan sejak tamat PKP dalam keadaan peniaga tidak berniaga, kehilangan pendapatan sejak PKP tetapi kami tetap akur dan menjelaskan semua bayaran yang dikenakan.
“Selepas satu bayaran dibuat ke MPKj, dikenakan pula syarat lain yang memerlukan kami membayarnya pula, selepas ia selesai timbul pula isu teknikal yang lain malah saya dimaklumkan ada fail yang diserahkan sudah hilang.
“Dalam isu teknikal setakat ini hanya satu sahaja yang belum selesai itupun baru beberapa hari lalu dimaklumkan kepada saya.
“Mekanisme ini (iaitu tidak dimaklumkan semua syarat lebih awal sebelum lesen) perlu ditambahbaik di masa akan datang kerana jika masih tidak berubah ramai penganjur akan rasa teraniaya seperti kami,” katanya.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: