Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah (tengah) bercakap dengan peniaga pada sidang media mengenai isu tapak pasar malam di Seksyen 9, Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 19 JULAI 2020.

BANGI – Suasana kecoh sepanjang sejam dialog antara ratusan peniaga, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), penganjur dan wakil Majlis Perbandaran Daerah Kajang (MPKj) berhubung isu ada lesen tetapi tidak dibenarkan berniaga di Bazar Malam Seksyen 9, Bandar Baru Bangi.

Peniaga yang hadir melaungkan “kami nak berniaga kami nak berniaga” berulang-ulang kali.

Majlis itu dibuat berikutan 300 peniaga kecil-kecilan yang diberi lesen sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dibenarkan berniaga dengan pelbagai alasan oleh pihak MPKj.

Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) dan Pertubuhan Penggerak Ekonomi Islam Malaysia (PEMA) gesa MPKj benarkan peniaga berniaga buka laluan tapak pasar malam serta merta kerana lesen masih sah.

Presiden Ikhlas Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya menerima aduan peniaga yang meluahkan rasa tertekan berikutan lesen perniagaan sudah hampir tamat iaitu hujung Julai ini.

“Mengikut maklumat pelbagai sumber, saya nampak ada unsur rasuah dan campur tangan pihak tertentu yang memainkan peranan penting kerana lesen sudah berikan, tempat niaga juga sudah siap tetapi pelbagai alasan seperti isu teknikal pula ditimbulkan.

“Lebih anehnya, semua syarat itu tidak dimaklumkan sebelum lesen diberikan, malah peniaga sudah berniaga selama tiga hari sebelum PKP, saya yakin jika tiada PKP peniaga boleh berniaga seperti biasa.

“Isu ini timbul selepas PKP di mana peniaga tidak dibenarkan berniaga, laluan ditutup rapat oleh MPKj dan pelbagai syarat pula dikenakan.

“Sebagaimana yang disebut dalam sidang media tadi, bahagian teknikal diurus dinilai oleh manusia, tiadakah kepermanusiaan untuk mempermudahkan urusan serta membela nasib ratusan peniaga tempatan lain.

“Kenapa peniaga asing kita lihat berselerak di sana sini tiada pun isu teknikal ditimbulkan tetapi apabila rakyat tempatan hendak berniaga macam-macam alasan diberikan.

“Jika masih tiada maklum balas daripada PBT dan pejabat Menteri Besar, saya dan peniaga akan buat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dedahkan modus operandi dan dalang disebalik isu ini,” katanya selepas Majlis Dialog antara peniaga, penganjur dan Ahli Majlis MPKj di Seksyen 9, Bangi, di sini.

Turut hadir wakil peniaga, Salmah Othman, penganjur, Datuk Mohd Shah Taib dan Ahli Majlis MPKj Fauzi Hasim.

Presiden Pertubuhan Penggerak Ekonomi Malaysia (PEMA), Zamri Zainon semasa sidang media mengenai isu tapak pasar malam di Seksyen 9, Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 19 JULAI 2020.

Dalam pada itu, Presiden PEMA, Zamri Zaimon meminta pihak kerajaan dan pihak berkenaan untuk mengganti semula tempoh dan kerugian yang telah dialami dengan cara menyambung setahun lagi sewaan dengan percuma.

Katanya, jika tidak dapat yang diatas itu, maka kami mempertimbangkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap PKNS, MPKj dan PI Briliant Berhad. Sudah tentu banyak terbongkar di mahkamah nanti.

“Juga kemungkinan akan mengadap menyembahkan masalah ini kepada DYMM Sultan Selangor kerana tanah tapak bazar ini adalah tanah kerajaan negeri dan peniaga ini adalah rakyat negeri Selangor,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan laluan kenderaan masuk sudah ditutup dihalang dengan batu konkrit, jadi bagaimanakah kerja-kerja kejuruteraan dan lain-lain boleh dibuat oleh penganjur?

“Peniaga sudah bayar sewa sepatutnya kalau tak dibenarkan pun berniaga, tidak dibenar berniaga sahaja bukan tidak dibenar masuk seperti pagar kawat berduri tentera pula.

“Ini jelas sengaja supaya peniaga tidak dapat berniaga memang MPKj tidak mahu membenarkan mereka berniaga sama sekali bukan dan tidak membantu peniaga untuk berniaga, hanya kutip duit lesen dan pelbagai penalti terhadap penganjur secara buta sahaja

“Lebih aneh, gerai niaga penjaja di luar tapak bazar ini dilihat boleh beroperasi, jika begitu berikan sahaja peniaga ini lesen penjaja untuk mereka mencari sesuap nasi,” katanya. – MalaysiaGazette