HULU SELANGOR – Sebanyak lima jalan akan ditutup sementara kepada semua kenderaan sempena hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.06 Kuala Kubu Bharu esok.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, penutupan laluan itu bermula pukul 12.01 tengah malam sehingga selesai proses penamaan calon.

Antara jalan yang ditutup itu ialah Jalan Merdeka, Jalan Abdul Hamid, Jalan Dato Muda Jaafar, Jalan Mat Kilau dan Jalan Kamarudin.

“Orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif termasuk Jalan Kubu, Jalan Dato Tabal, Jalan Rasathurai, Jalan Dato Balai, Jalan Syed Masyor dan Jalan Pahang.

“Pihak polis meminta warga Hulu Selangor agar mematuhi arahan penutupan dan pelencongan jalan bagi melancarkan aliran trafik bersempena hari penamaan calon PRK DUN N.06 Kuala Kubu Bharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penutupan Jalan
Lokasi penutupan jalan sempena proses penamaan calon PRK DUN Kuala Kubu Bharu

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRK bagi kawasan DUN N.06 Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei 2024, manakala hari penamaan calon pada 27 April ini.

Kerusi DUN Kuala Kubu Bharu menjadi kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, akibat penyakit kanser pada 21 Mac lalu.

Selain itu, katanya, proses penamaan calon bagi PRK DUN Kuala Kubu Bharu akan diadakan di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Pejabat Daerah dan Tanah, Hulu Selangor. – MalaysiaGazette