KUALA LUMPUR – Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) bagi tahun 2019 pada harga semasa merekodkan nilai RM346.8 bilion dan PMTK pada harga malar berjumlah RM328.4 bilion.

PMTK merupakan komponen kedua terbesar dalam KDNK dengan sumbangan 23.1 peratus daripada keseluruhan ekonomi.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, PMTK 2019 menyusut 2.1 peratus daripada 1.4 peratus pada tahun sebelumnya disebabkan oleh perolehan aset tetap yang lebih perlahan dalam sektor pembuatan dan perlombongan & pengkuarian serta prestasi perlahan sektor pembinaan.

Sementara itu, sektor perkhidmatan dan pertanian mencatatkan pertumbuhan positif.

”PMTK sektor perkhidmatan bertumbuh perlahan iaitu 1.5 peratus berikutan kemerosotan dalam Kewangan, insurans, hartanah & perkhidmatan perniagaan.

Sebaliknya pengangkutan & penyimpanan dan maklumat & komunikasi menyusut 0.4 peratus berbanding tahun sebelumnya” kata beliau lagi,” katanya.

PMTK dalam sektor pembuatan menguncup kepada 10.1 peratus daripada 2.6 peratus disebabkan oleh penurunan sebanyak 16.9 peratus bagi Produk petroleum, kimia, getah dan plastik.

Produk elektrik, elektronik & optikal dan peralatan pengangkutan turut menyebabkan kemerosotan prestasi keseluruhan sektor pembuatan yang menyusut 6.8 peratus.

Sementara itu, produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka dan produk tekstil dan kayu masing-masing menyusut 7.4 peratus dan 7.6 peratus.

Pada tahun 2019, prestasi PMTK sektor perlombongan & pengkuarian bertambah baik kepada negatif 9.1 peratus daripada pertumbuhan negatif 11.0 peratus pada tahun sebelumnya.

Manakala sektor pembinaan menyusut 1.4 peratus berbanding 4.3 peratus pada tahun 2018.

Tambah beliau, sektor pertanian mencatatkan pertumbuhan 0.2 peratus disebabkan oleh pertumbuhan positif dalam ternakan dan perikanan iaitu 5.3 peratus.

Jabatan Perangkaan Malaysia turut melaporkan bahawa Struktur kekal sebagai penyumbang terbesar kepada PMTK mengikut jenis aset dengan sumbangan 58.5 peratus dan merosot 0.6 peratus.

Perolehan aset tetap bagi peralatan ICT dan lain-lain jentera & peralatan dan aset lain masing-masing menyusut sebanyak 4.0 peratus dan 5.4 peratus.

Sektor swasta dengan sumbangan sebanyak 72.8 peratus merupakan pendorong utama PMTK dengan pertumbuhan 1.6 peratus.

Namun begitu, sektor awam merekodkan sumbangan yang lebih kecil dengan 27.2 peratus pada tahun 2019.

Manakala aktiviti perkhidmatan dan pembuatan merupakan penyumbang utama PMTK bagi sektor swasta.

Sumbangan perkhidmatan meningkat kepada 61.5 peratus manakala aktiviti pembuatan mengekalkan kedudukan sebagai penyumbang kedua dengan sumbangan 22%.

Aktiviti-aktiviti lain menyumbang 16.5 peratus kepada jumlah keseluruhan PMTK Swasta.

Sebahagian besar PMTK sektor Awam didominasi oleh aktiviti perkhidmatan dan perlombongan & pengkuarian, masing-masing menyumbang 77.5 peratus dan 13.9 peratus.

Sementara itu, pembuatan mencatatkan sumbangan sebanyak 8.0 peratus berbanding 8.7 peratus pada tahun 2018. – MalaysiaGazette