KUALA LUMPUR – Polis akan menyiasat daripada pelbagai sudut berhubung tindakan individu yang menconteng mural barisan pemimpin negara di Shah Alam semalam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, langkah itu adalah bagi mengenalpasti tindakan yang sesuai dikenakan ke atas pelaku selain meneliti latar belakang serta motif ia dibuat.
“Betul, polis sedang buat siasatan mengenai isu ini, ada beberapa sudut yang akan kita lihat, siapa lakukan, orang jenis macam mana yang lakukan?
“Sehingga kita dapat keputusannya, baru kita umumkan. Kalau orang biasa buat conteng-conteng ini, dia lakukan kesalahan kerana vandalisme dalam negara kita bukan hanya conteng gambar orang-orang tertentu.
“Tindakan menconteng apa saja sekali pun dikira vandalisme, justeru kita akan ambil tindakan mengikut penyesuaian,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.
Semalam, media melaporkan dua wanita dipercayai menjadi dalang yang merosakkan mural barisan pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, dekat Shah Alam.
Kelibat kedua-dua wanita itu dilihat dalam satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular sejak tengah hari semalam.
Berdasarkan rakaman video berdurasi dua minit 20 saat itu, sebuah kereta diletakkan di sebelah lorong lukisan mural berkenaan, sebelum kelibat dua individu muncul melakukan contengan pada mural berkenaan.
Mereka dipercayai menconteng kata-kata kesat terhadap gambar pemimpin negara, termasuk Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Selain baginda, mural berkenaan turut memaparkan wajah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. – MalaysiaGazette