KUALA LUMPUR – Sebanyak 16 kes baharu Covid-19 direkodkan dalam masa 24 jam sehingga pukul 12 tengahari manakala empat kes sembuh direkodkan untuk tempoh tersebut

Berikutan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus tersebut adalah 142 kes dan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 8,831 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 16 kes baharu yang dilaporkan itu, sebanyak lapan kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan empat warganegara Malaysia dan empat bukan warganegara.

“Empat bukan warganegara itu merupakan pemastautin tetap atau dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja.

“Lapan kes import tersebut adalah dari India sebanyak dua kes, Rusia (2 kes), Arab Saudi (1 kes), China (1 kes), Indonesia (1 kes) dan Korea (1 kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, baki lapan kes daripada 16 kes baharu itu adalah penularan di dalam negara, yang mana tujuh kes dalam kalangan warganegara Malaysia dan satu kes adalah bukan warganegara iaitu kes saringan untuk berlepas ke luar negara.

“Bagi satu kes bukan warganegara itu, beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor.

“Manakala tujuh lagi kes tempatan adalah dari Sarawak di mana tiga kes daripada Kluster Stutong, satu kes daripada Kluster Sentosa, satu kes daripada Kluster PUI Melbourne.

“Dua lagi kes tempatan itu ialah satu kes saringan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-8695) di mana beliau merupakan ahli keluarga kepada kes tersebut.

“Satu kes lagi adalah saringan selepas kembali bertugas di sekolah. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak,” ujarnya.

Sehingga kini, katanya Dr Noor Hisham, hanya lima kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala satu kes pula memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 123 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya. – MalaysiaGazette