KUALA LUMPUR – Sepuluh tahun terbang di awan mengemudi pesawat, Anwar Ajid akhirnya terpaksa menerima takdir yang ditentukan ilahi bahawa rezekinya kini berada di daratan.

Namun, ia tidak semudah drama swasta setiap petang, lelaki ini terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan dan mengambil kesempatan daripada ekonomi gig untuk terus menampung kehidupannya sekeluarga.

Menurut Anwar, perjalanan berliku bermula sejak April lalu apabila beliau kehilangan pekerjaan akibat penularan wabak Covid-19.

Berita sedih itu membuatkan beliau terpaksa berfikir pantas untuk mencari pekerjaan bagi menampung perbelanjaan harian selepas permohonan kerja di syarikat-syarikat lain tidak berjaya.

Katanya, beliau tidak berani memasuki pasaran tukaran asing kerana tidak berkemahiran dan bidang tersebut mempunyai risiko yang sangat tinggi.

Tambahan pula, sekiranya berlaku kerugian semasa melakukan dagangan boleh mengakibatkan wang simpanannya untuk membayar hutang selepas tempoh moratorium, lesap.

Akhirnya, Anwar memilih untuk menjadi penghantar barang dan makanan.

“Dulu sejam aku fly (menerbangkan pesawat) boleh dapat minimum RM6xx sehari tetapi sekarang sudah terbalik sehari kerja bagai nak rak (dengan panas lengit, hujan, kena marah dengan pelanggan, hitam terbakar muka dan tangan) boleh dapat RM50 to RM70 sahaja.

“Cukup ke hendak bayar perbelanjaan aku?

“Memang tak cukup tetapi inilah rezeki Allah beri kepada keluarga aku buat masa sekarang.

“Kesian sangat kepada anak aku yang baru berumur lapan tahun ini.

“Masih lagi kecil tetapi sudah terpaksa melalui kesusahan ini.

“Maafkan papa ye nak.

“Saya akan mencuba sedaya upaya supaya boleh mendapatkan pekerjaan yang sesuai demi keluarga kita,” luahnya dalam satu hantaran di Facebook.

Menjadikan Facebook sebagai jurnal digital untuk mengabdikan kenangan pada tahun 2020, Anwar turut membuat perbandingan mengenai beberapa syarikat penghantaran barang dan makanan yang pernah diceburinya dalam tempoh beberapa bulan lalu.

Menurut bekas juruterbang yang berkelayakan menerbangkan pesawat jenis ATR72-600 dan Boeing, B737 New Generation itu, FoodPanda mempunyai sistem yang teratur dan seakan-akan sistem yang diguna pakai kepada juruterbang syarikat penerbangan.

Ini merangkumi Prestasi Tepat Masa (OTP), daftar masuk dan jadual kerja.

Bagi menambah pendapatan, Anwar dan isterinya turut menjadi ejen jualan kambing perap dan steak yang dibawa masuk dari New Zealand. – MalaysiaGazette