Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Marican Naina Merican (dua kanan) diiringi Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (kanan) menyempurnakan gimik perasmian pada Pelancaran Skim Perantisan Nasional di Menara KBS, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 22 JULAI 2020.

PUTRAJAYA – Satu Jawatankuasa Kerja telah ditubuhkan sejak dua minggu lalu bagi membincangkan isu 46 hospital yang berusia lebih 50 setahun di negara ini.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan Kementerian Kesihatan Malaysia yang turut melibatkan kementeriannya dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Jelas beliau, satu mesyuarat juga telah diadakan bagi memperincikan isu hospital itu sekaligus mencari jalan penyelesaian.

“Kementerian telah membekalkan bantuan semua bantuan setakat ini selepas kita membuat kajian.

“Bagi hospital berusia 50 tahun ini, isu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu iaitu melibatkan risiko kebakaran.

“Mana hospital yang tidak mematuhi dan belum dapat sijil kebakaran daripada Jabatan Bomba perlu diberi perhatian serius,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Skim Perantisan Nasional 2020 di Kementerian Belia dan Sukan di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Beliau diminta mengulas laporan media hari ini apabila sekurang-ku­rangnya 46 hospital berusia le­bih 50 tahun di seluruh nega­ra dikenal pasti sebagai daif dan ‘uzur’ yang berisiko jika berla­ku kejadian tidak diingini ter­utama kebakaran.

Perkara itu turut disahkan oleh dua bekas menteri, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan mengakui isu itu mendapat perhatian serius mereka semasa menerajui Kementerian Ke­sihatan.

Hospital-hos­pital terbabit yang menempatkan kira-kira 30,000 katil pesakit dilaporkan memiliki sistem pendawaian elektrik berbahaya.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, pembangunan semula hospital baharu memerlukan bantuan kewangan selain masalah saiz hospital sedia ada yang kecil.

Beliau menjelaskan, pihaknya juga perlu mengambil kira kawasan penempatan sementara untuk menunggu hospital baharu dibina.

“Ia adalah cabaran menangani isu hospital lama ini. Namun Insya-Allah kita mencari jalan penyelesaian secepat mungkin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Rakyat kena setuju hakikat negara daif
    Banyak bangunan kerajaan uzur daif…..tapi masih dibazirkan pas umno bersatu

    Bangkitlah mandat rakyat

Comments are closed.