Halimah Mohamed Sadique

KUALA LUMPUR- Kerajaan akan menyerapkan semula pendidikan Rukun Negara dalam kokurikulum di sekolah.

Langkah itu selari dengan usaha kerajaan bagi mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique.

“Kalau dulu kita ada pendidikan sivik, masa saya dulu ada pendidikan tata negara, kita nak masukkan balik supaya dapat dipertimbangkan, terutama daripada Kementerian Pendidikan.

“Kita nak serapkan balik pendidikan ini (Rukun Negara) di sekolah rendah dan menengah, selain aktiviti sekretariat Rukun Negara bersama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (Tampin-PH), Datuk Dr Hasan Bahrom yang ingin tahu mengenai pendidikan sivik yang pelaksanaannya ditangguhkan pada 2003 akan dikembalikan dalam kurikulum pengajian di sekolah.

Bagaimanapun Halimah berkata, perancangan mengenai langkah itu sedang diteliti bersama dengan Kementerian Pendidikan. – MalaysiaGazette