KUALA LUMPUR – Bekalan air yang terjejas di Klang dan Kuala Langat ekoran paip pecah akibat kejadian tanah mendap di Jalan Klang-Banting berdekatan Johan Setia kini telah kembali pulih sepenuhnya.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Elina Baseri berkata, ia membabitkan lapan kawasan di Kuala Langat dan beberapa kawasan di Klang yang terjejas sebelum ini.

“Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan bahwa dua kawasan terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual di Wilayah Klang dan lapan kawasan di Wilayah Kuala Langat ekoran paip pecah di kawasan tanah mendap telah pulih sepenuhnya.

“Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesabaran untuk pengguna sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isnin lalu, Jalan Klang-Banting berhampiran Johan Setia ditutup ekoran kejadian tanah mendap dipercayai akibat kerja-kerja menanam cerucuk bagi pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT3).

Air Selangor juga menyarankan para orang ramai dan pengguna untuk memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk maklumat terkini.

“Pengguna juga boleh menggunakan Facebook, Twitter dan Instagram Air Selangor atau layari laman sesawang kami di www.airselangor.com untuk pertanyaan dan bantuan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast