Datuk Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) hari ini berkata semua penerbit filem diwajib memohon Lesen Pengeluaran Filem (LPF) untuk membuat sebarang penggambaran filem.

Menurut menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, selain daripada LPF, mereka juga diwajibkan untuk mendapatkan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) tidak kira mereka adalah agensi media arus perdana atau media personal yang menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran tradisi.

“Pemegang Lesen, jika membuat penggambaran filem hendaklah memaklumkan kepada Perbadanan tidak lewat dari tujuh hari sebelum membuat penggambaran sesuatu filem dimulakan melalui borang tertentu yang dikeluarkan oleh Perbadanan.

“Dengan penghantaran borang tersebut, Surat Perakuan Penggambaran (SPP) akan dikeluarkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS),” katanya ketika menjawab sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), hari ini.

Saifuddin menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi yang mahu mengetahui sama ada semua penerbit filem wajib memohon LPF serta Surat Perakuan Penggambaran.

Beliau menjawab perkara itu termaktub dalam Syarat (1), Syarat-syarat Tambahan Lesen Pengeluaran Filem di bawah Peraturan-Peraturan 4 Perbadanan Kemajuan
Filem Nasional Malaysia (Perlesenan) 1983.

Segala aktiviti kawal selia perfileman adalah dibawah bidang kuasa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Saifuddin sebelum ini berkata, syarat penghasilan setiap filem dan dokumentari di negara ini ialah syarikat atau produksi yang terlibat perlu mendapat izin daripada Finas.

Ia ekoran Finas berkata, Al Jazeera International (M) Sdn. Bhd tidak mempunyai lesen pengeluaran filem dan tiada permohonan surat perakuan penggambaran dokumentari berjudul ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’.

Dalam satu kenyataan, Unit Komunikasi Korporat Finas berkata, perkara itu didapati berdasarkan siasatan awalnya.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani penularan Covid-19.

Polis dilaporkan memanggil pengendali Al Jazeera serta wartawan yang terlibat dalam penerbitan dokumentari itu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan yang dibuat di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, selain Akta Komunikasi dan Multimedia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast