Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Walaupun harga bawang putih, bawang merah kecil dan bawang besar meningkat 30 peratus pada Jun 2020 berbanding bulan sama 2019, tetapi keadaan harga itu dianggap sudah stabil.

China Press melaporkan, bahan-bahan makanan tersebut telah mengalami pergolakan harga berikutan banjir di India yang menyebabkan hasil bawang besar menjunam sehingga larangan eksport dikuatkuasakan New Delhi pada September tahun lalu.

Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga-Peniaga Barang-Barang Runcit, Hong Chee Meng berkata, walaupun India membenarkan semula eksport bawang besar pada Mac tahun ini, tetapi ia pula bertembung dengan wabak COVID-19 yang memberi impak besar kepada urusan logistik.

“Pada masa itu permintaan masih tinggi di Malaysia sehingga menyebabkan kenaikan harga kerana  penawaran yang gagal menampung permintaan.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan, harga bawang pernah melonjak 50 peratus pada satu ketika,” katanya kepada China Press.

Menurut Chee Meng, keadaan harga bawang-bawang bagaimanapun sudah menjadi lebih stabil kebelakangan ini.

Walau bagaimanapun, beliau bimbang, keadaan banjir yang melanda China mungkin membawa kesan kerana Malaysia turut mengimport bawang dari Negara Tembok Besar.

Menurut data, harga purata bawang besar pada Jun 2019 adalah RM3.31 sekilogram, berbanding RM4.58 sekilogram pada Jun 2020.

Harga bawang merah kecil pula adalah RM5.58 sekilogram pada Jun tahun lalu, tetapi meningkat kepada RM8.32 pada Jun 2020.

Harga bawang putih juga naik, iaitu kepada RM10.27 pada Jun 2020 berbanding RM7.49 pada Jun tahun lalu. – MalaysiaGazette