Suhakam

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kesal terhadap kenyataan berunsur perkauman, seksis dan kenyataan kesat yang dibuat oleh beberapa Ahli Parlimen di sidang Parlimen.

Kenyataan perkauman yang diungkapkan oleh Ahli Parlimen baru-baru ini sebagai sesuatu yang memalukan dan tidak boleh diterima daripada wakil yang telah dipilih oleh rakyat.

Oleh itu, Suhakam berpandangan sikap begini adalah tidak wajar dan tidak seharusnya berlaku.

”Walaupun kebebasan bersuara merupakan hak asasi manusia, ia datang dengan tanggungjawab dan sesiapapun tidak boleh mencabuli hak ini dengan menggunakannya untuk mempersenda, memberi gangguan mental dan/atau menimbulkan kacau ganggu awam.

”Sebarang ungkapan yang menjatuhkan maruah seseorang merupakan pancabulan hak asasi yang nyata.

”Ahli-ahli Parlimen seharusnya tidak menggunakan imuniti mereka sebagai lesen untuk melemparkan kata-kata berbentuk perkauman, seksis dan kesat di dalam dewan yang dimuliakan,” katanya.

Suhakam berkata, Ahli-Ahli Parlimen seharusnya menghormati dan mematuhi Arahan Tersedia Dewan Rakyat.

Suhakam menyeru Ahli-Ahli Parlimen untuk lebih menyedari akan tanggungjawab
dalam melaksanakan tugas mereka dan adalah penting bagi pemimpin-pemimpin negara untuk menunjukkan contoh yang baik dan mempraktikkan kesopanan, rasa hormat dan rendah hati dalam interaksi mereka di dalam Parlimen.

Katanya, dengan sidang Parlimen yang disiarkan secara langsung, dikhuatiri sikap sedemikan boleh menjadi ikutan dalam kalangan belia.

”Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan telah dipinda pada tahun 2001 bagi memasukkan gender sebagai perlindungan daripada diskriminasi.

“Suhakam menyeru agar langkah-langkah segera diambil oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk membuat teguran atau adalah lebih baik bagi Ahli-ahli Parlimen untuk menjaga sikap dan kelakuan mereka dengan sewajarnya di dalam Parlimen.

”Masa yang terhad ini lebih baik dimanfaatkan untuk berbahas mengenai isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara daripada menjurus kepada serangan peribadi yang berbentuk negatif.

Suhakam juga menyambut baik tindakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun supaya tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat ungkapan berbentuk hasutan, perkauman dan/atau seksis dibuat di dalam Dewan Rakyat.

“Pemimpin seharusnya mempromosikan perpaduan dan keharmonian tanpa mengira gender atau bangsa,” ujarnya. – MalaysiaGazette