Pulau Bali sudah bersedia untuk membuka semula pintu sempadan kepada pelancong antarabangsa mulai 11 September ini.

JAKARTA – Gabenor Bali Wayan Koster mengumumkan Pulau Bali bakal membuka sempadannya kepada pelancong antarabangsa mulai 11 September ini, lapor The Jakarta Post.

Bagaimanapun kemasukan pelancong antarabangsa ke pulau itu akan dikuatkuasakan dengan protokol kesihatan yang sangat ketat dalam usaha mengelak penularan Covid-19.

Koster menjelaskan, Pulau Bali sudah menyediakan pelan tiga fasa bagi menyambut kemasukan semula pelancong ke destinasi pelancongan terkemuka dunia.

“Fasa pertama telah dimulakan 9 Julai lalu dengan pembukaan semula sektor ekonomi dan perniagaan tempatan dan lokasi tumpuan pelancong untuk penginapan di Bali.

“Manakala kita akan memulakan fasa kedua pada 31 Julai ini dengan pembukaan Bali kepada pelancong tempatan atau di dalam negara,” kata Koster seperti dilaporkan tempo.com.

Tambah beliau, fasa ketiga pembukaan semula Bali akan bermula 11 September ini dengan membuka pintu sempadan kepada pelancong antarabangsa.

Gabenor itu berkata, pentadbirannya telah menyediakan protokol kesihatan Covid-19 yang sangat ketat di setiap tempat tumpuan pelancong dan beberapa tempat awam.

Bagi tujuan itu, beliau mensyaratkan setiap pelancong asing menyediakan keputusan ujian saringan negatif Covid-19 yang sah laku untuk tempoh 3 minggu sejajar dengan surat pekeliling yang diedarkan oleh Menteri Pengangkutan.

Industri pelancongan di Bali terjejas teruk akibat pandemik global yang berlaku di luar jangkaan itu, sekaligus merencatkan perjalanan pelancong ke pulau itu.

Pelancongan Antarabangsa Bali menyumbang 41 peratus kepada pendapatan sektor pelancongan Indonesia iaitu kira-kira 116 trilion Rupiah. – Agensi