Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa institusi perbankan mengalami kerugian sebanyak RM6.4 bilion ekoran pelaksanaan program moratorium, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Anggaran kerugian bank Yang terkesan dengan moratorium berterusan.

“Institusi perbankan ini dianggarkan mengalami kerugian pengubahsuaian hari pertama Standard Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) sebanyak RM1.06 bilion bagi setiap bulan moratoium,” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.

Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan mahu tahu sama ada moratorium kewangan oleh bank-bank akan dilanjutkan enam bulan lagi.

Menjawab pertanyaan itu lagi, Tengku Zafrul berkata, perkara itu masih dalam perbincangan antara Putrajaya dengan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kerajaan masih dalam perbincangan bersama dengan Bank Negara Malaysia dan sektor perbankan mengenai langkah-langkah seterusnya.

“Walau apa pun, sektor perbankan telah memberi komitmen mereka untuk membantu rakyat dan perniagaan serta memainkan peranan mereka untuk terus menyokong pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berada sehingga kini, bank-bank telah menghubungi lebih daripada 394,000 peminjam untuk menawarkan penstrukturan dan penjadualan semula bagi membantu para peminjam yang masih terjejas.

Daripada jumlah ini, sebanyak 75,000 peminjam Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) telah dihubungi.

“Bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2020, lebih daripada 21,000 peminjam telah dibantu di bawah pelan bayaran balik pinjaman institusi kewangan berbanding hanya sekitar 14,000 peminjam yang dibantu untuk keseluruhan tahun 2019,” katanya lagi.

Pada Mei lalu, Tengku Zafrul dalam satu kenyataan berkata, bank tempatan bersetuju untuk tidak mengenakan caj tambahan ke atas bayaran ansuran perjanjian sewa beli konvensional dan Syariah.

Caj tambahan berkenaan adalah kadar faedah terakru serta yuran dan penalti lewat bayar. – MalaysiaGazette