Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang ramai yang ingin membeli dan memakai pelitup muka kain yang diperbuat daripada kain agar memastikan ia ada tiga lapis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sekiranya pelitup muka satu lapis boleh dianggap seperti memakai kain sahaja dan tidak mampu menapis virus Covid-19.

“Kita tak menggalakkan orang ramai menggunakan pelitup muka atau pelitup kain kalau satu lapis atau dua lapis. Kalau kita memakai penutup muka, pastikan kita beli penutup muka kain yang ada tiga lapis.

“Kalau satu lapis maknanya kita hanya pakai kain biasa saja. Itu tak berkesan kalau kita menggunakan satu lapis,” katanya pada sidang media di KKM hari ini.

Dalam pada itu, pelitup muka tiga lapis yang ditetapkan KKM sebenarnya mengikut garis panduan yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kita mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh WHO pelitup muka bukan perubatan mestilah ada tiga lapis.

“Ia mestilah boleh menapis kesan hidrofilix (menyerap air) dan hidrofobik (menghindar penyerapan air),” katanya lagi. – MalaysiaGazette