KUALA LUMPUR – Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek berkata tiada pilih kasih dalam pemilihan pemain remaja untuk mewakili negara dalam sebarang kejohanan.
Beliau menegaskan bahawa anak saudaranya, Muhammad Fazriq Mohamad Razif perlu membuktikan kemampuannya dan bersaing dengan pemain lain bagi merebut posisi selaku pemain utama dalam skuad remaja kebangsaan.
Bagaimanapun, Misbun menyifatkan pemain berusia 16 tahun itu, dilihat memiliki bakat istimewa dan berpeluang cerah menyinar pada masa hadapan bersama barisan pemain remaja negara.
“Tak ada (sentimen kekeluargaan)…dalam memilih pemain dalam pasukan, kita tidak harus ada pilih kasih, yang penting ialah ikut merit, keupayaan mereka sendiri bagaimana untuk menempatkan status diri beliau dalam team.
“Saya lebih suka semua orang mengambil peluang ini, kita akan menilai dan kita akan pilih mana yang terbaik untuk mewakili Malaysia. Malah, ada beberapa pemain lain yang mempunyai bakat semulajadi, apa yang kita perlu buat ialah gilap dan kembangkan bakat itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara di sini.
Fazriq, anak kepada bekas legenda beregu negara, Razif Sidek, dianggap sebagai prospek masa depan negara apabila mencipta impak tersendiri selepas meraih kejuaraan berganda dengan menjuarai Kejohanan Badminton Grand Prix Final Sirkit Remaja Kebangsaan, tahun lalu.
Sementara itu, Fazriq Razif bertekad untuk membuktikan potensi dirinya sambil mengakui tidak memiliki sebarang keistimewaan dalam skuad remaja kebangsaan.
“Saya rasa beruntung berada di bawah naungan beliau (Misbun) dan saya harap dapat belajar ilmu daripadanya. Beliau telah melahirkan ramai jaguh negara seperti (Datuk) Lee Chong Wei dan Muhammad Hafiz Hashim. Jadi saya akan berusaha berlatih di bawah bimbingan beliau dan belajar sebanyak mungkin,” jelas Fazriq.
Fazriq juga menyasarkan layak secara merit untuk membuat debut di Kejohanan Remaja Dunia yang dijangka berlangsung di Auckland, New Zealand bermula 11-24 Januari depan, selepas ditunda daripada jadual asal, iaitu 28 September hingga 11 Oktober ini berikutan penularan wabak COVID-19.
Pemain itu yang menduduki ranking dunia ke-10 untuk acara beregu dan ke-21 bagi acara perseorangan, masih belum membuat keputusan sama ada mahu fokus dalam acara beregu atau perseorangan.
“Setakat ini tak ada lagi dalam pemikiran saya, tapi saya cuba yang terbaik dalam kedua-dua acara. Bagi saya setahun atau lebih untuk melihat perkembangan dan membuat keputusan,” katanya Fazriq menambah ayahnya bagaimanapun menasihatkannya agar lakukan yang terbaik dan bermain untuk kedua-dua acara kerana masih muda dan bertenaga.
“Sebenarnya, saya lebih berminat untuk main beregu seperti ayah, apapun saya tetap rasa seronok bermain beregu atau perseorangan,” katanya. – Bernama