KUALA LUMPUR – Pemuda Pakatan Harapan hari ini membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul bagi membolehkan polis bertindak ke atas peserta yang berhimpun di hadapan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam.

Wakil pemuda PH, P. Prabakaran dari PKR bersama wakil pemuda DAP dan Amanah menyifatkan himpunan itu satu tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu sehingga mengingkari dan mengabaikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Kesihatan Covid-19 kerajaan.

Katanya, pihaknya telah menyerahkan beberapa keping gambar perhimpunan termasuk gambar pemimpin politik sebagai bukti.

“Kami ada gambar sebagai bukti beberapa pemimpin berpengalaman dan veteran politik terlibat sama hadir ke perhimpunan itu yang jelas mengingkar arahan SOP kesihatan yang disarankan kerajaan.

“Najib yang menghadapi keputusan perbicaraan kes semalam patut boleh naik kereta masuk ke dalam mahkamah tetapi memilih berjalan kaki menyertai penyokongnya di luar pintu masuk utama sehingga menyukarkan penjarakan sosial dipatuhi.

“Walaupun polis keluarkan kenyataan tindakan akan menyusul ke atas semua orang yang berhimpun di hadapan mahkamah saya mahu beberapa pemimpin veteran politik seperti Najib Razak, Ahmad Maslan Mohamad Hasan serta Pemuda UMNO Asyraf Wajdi juga perlu disiasat kerana ingkar SOP,” katanya selepas membuat laporan polis hari ini.

Dalam kejadian semalam, penyokong bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak termasuk beberapa Ahli Parlimen yang berkumpul di hadapan Kompleks mahkamah berkenaan mengingkari prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak mengamalkan penjarakan sosial.

Ribuan penyokong Najib dipercayai datang dari beberapa lokasi di seluruh negara, termasuk Pekan untuk memberi sokongan moral kepada beliau yang menghadapi pertuduhan penyewelengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Menurut Ahli Parlimen Batu itu, adalah tidak adil tindakan kompaun hanya terpakai ke atas rakyat biasa.

“Walaupun pemimpin veteran mereka juga perlu disiasat bersama peserta lain yang berkumpul mengabaikan penjarakan sosial di hadapan mahkamah sehingga menyukarkan tugas anggota keselamatan mengawal keadaan.

“Malah saya dan ahli Parlimen lain turut tergugat dan bimbang apabila beberapa wakil Rakyat seperti Ahmad Maslan dan Datuk Seri Azeez Raheem terus masuk ke Dewan Rakyat selepas hadir ke perhimpunan di hadapan mahkamah.

“Bayangkan kalau kedua-dua mereka terkesan positif Covid-19 kami juga terdedah dengan risiko itu sehingga Parlimen berdepan potensi kuaratin dan menyahkuman jika terbukti kelak kerana ini soal keselamatan,” ujar Prabakaran.

Dia mencadangkan supaya Kementerian Kesihatan memperketatkan semula dengan menghadkan jumlah kehadiran individu ke perhimpunan dengan dikawal ketat polis dan pegawai kesihatan.

“Polis juga perlu siasat dan mengangkut kesemua peserta termasuk pemimpin politik yang terlibat sama sekiranya perhimpunan berkenaan tidak direstui undang-undang atau akta Perhimpunan Aman 2012,” kata Prabakaran. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Hebat betul Najib, secara spontan saja penyokong2 & peminat2nya berderu2, berduyun2, berbondong2 datang tanda kasih sayang kepadanya!

    Pemimpin rakyat, AURA yang sangat nyata!

Comments are closed.