Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selesai membayar wang jaminan sebanyak RM2 juta di kaunter pendaftaran jenayah Mahkamah Tinggi di Kompleks Mahkamah Jalan Duta tengah hari tadi.
Kehadiran Najib di mahkamah kira-kira pukul 1 tengah hari tadi bagaimanapun tidak disedari oleh para petugas media yang telah menunggu sejak pagi kerana ahli Parlimen Pekan itu menggunakan laluan masuk yang berbeza.
Najib keluar setengah jam selepas itu ditemani anak lelakinya, Norashman Najib sambil dilihat tersenyum dan bercakap dengan beberapa penyokongnya. Beliau juga sempat bergurau dengan para jurugambar yang merakamkan kehadirannya sambil berkata: “Cukuplah, semalam dah banyak sangat gambar.”