KUALA LUMPUR – Umat Islam di negara ini diingatkan agar tidak alpa untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 ketika menyambut hari raya Aidiladha esok.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin berkata, Malaysia dan banyak negara lain masih belum diisytiharkan bebas daripada pandemik tersebut, malah sejak mutakhir ini, terdapat peningkatan kes-kes positif wabak itu di Malaysia.

“Justeru, kita tidak boleh leka dan alpa, sebaliknya kita mesti terus berusaha untuk memutuskan rantaian Covid-19 dengan mematuhi segala Prosedur Operasi Standard atau SOP yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya menerusi Perutusan Khas Hari Raya Aidiladha hari ini.

Menurut Muhyiddin Aidiladha pada kali ini mengingatkan kita tentang erti kesabaran dan berlapang dada dalam menempuh kesukaran hidup.

Katanya, umat Islam perlu melaksanakan ibadah korban dengan penuh penghayatan di samping mematuhi SOP yang ditetapkan iaitu menghadkan jumlah yang hadir di tempat penyembelihan tidak melebihi 20 orang bagi seekor lembu.

Tambahnya, tidak dibenarkan mengadakan kenduri di tempat
ibadah korban dijalankan dan apabila selesai sahaja memotong dan membahagikan daging korban, segeralah pulang ke rumah masing-masing.

Katanya lagi, jumlah sanak-saudara yang datang berziarah tidak boleh melebihi 20 orang pada satu masa serta perlu mengelakkan daripada bersalam-salaman.

“Jika di rumah anda ada ahli keluarga yang sedang menjalani kuarantin di rumah, beritahu sanak-saudara, jiran tetangga dan sahabat-handai jangan datang ziarah. Ini bahaya.

“Kita tidak tahu mungkin akan ada jangkitan jika orang yang dikuarantin itu kemudiannya didapati positif Covid-19,” ujarnya.

Di samping itu, Muhyddin turut menggesa agar mempastikan ahli keluarga yang sedang menjalani kuarantin tidak keluar dari rumah serta tidak berjalan ke sana ke sini.

Jelasnya, beliau menerima laporan ada dalam kalangan mereka yang sedang menjalani kuarantin di rumah keluar dari rumah dan tindakan itu sememangnya satu kesalahan berat.

Tegasnya, tindakan boleh diambil ke atas mereka yang melanggar arahan kuarantin.

“Seperkara lagi, hari Raya Aidiladha esok jatuh pada hari Jumaat. Saya pasti masjid di pekan-pekan kecil dan kampung-kampung akan menjadi agak sesak bukan sahaja semasa solat sunat Aidiladha, tetapi juga semasa solat Jumaat diadakan.

“Ini kerana ramai perantau pulang ke kampung halaman masing-masing. Jadi saya nak minta kerjasama imam-imam, bilal, tok siak dan semua ahli jawatankuasa masjid supaya kawal keadaan.

“Pastikan jarak yang selamat antara makmum. Pergerakan keluar dan masuk masjid juga mesti dikawal supaya teratur,” katanya.

Jelasnya, beliau terpaksa menyebut SOP itu secara terperinci sebagai peringatan supaya sepanjang sambutan Aidiladha esok dan pada hari-hari tasyrik, keadaan terkawal dan teratur.

Katanya, beliau mengingatkan perkara itu kerana jika
tidak peka dan berhati-hati, kemungkinan jangkitan Covid-19
merebak semasa musim perayaan ini adalah tinggi.

“Kita nak elakkan perkara ini daripada berlaku. Jadi, lebih baiklah kita beringat dan berwaspada,” ujarnya. – MalaysiaGazette