KUALA LUMPUR – Kes pertama di luar negeri Johor bagi kluster Bukit Tiram kini dikesan di Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes itu merupakan jangkitan di dalam negara yang melibatkan seorang bukan warganegara tempatan yang merupakan kontak rapat kepada kes indeks posiitif 25 Julai lalu.

Katanya, dalam kluster Bukit Tiram itu seramai 135 orang telah disaring sehingga pukul 12 tengahari ini..

“Daripada jumlah ini 10 kes dikesan dan disahkan positif Covid-19 dan 124 lagi adalah keputusan negatif manakala satu lagi kes masih menunggu keputusan persampelan.

“Daripada 10 kes positif itu, empat orang adalah bukan warganegara Malaysia dan kes positif yang dilaporkan pada hari ini (kes ke-8977) merupakan kontak rapat kepada kes positif ke-8893 dari negeri Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hisham, melalui siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif (Active Case Detection) yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah, kes positif ke-8893 didapati menginap di rumah kes ke-8977 sejak 16 Julai sehingga 19 Julai lalu di Selangor.

Katanya, beliau beliau telah dikenalpasti dan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

“Ujian saringan Covid-19 kali kedua dijalankan apabila kes ke-8977 mengalami gejala batuk dan sakit tekak dan keputusan ujian Covid-19 mengesahkan positif dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh,” ujarnya.

Berdasarkan pecahan kes dan kontak rapat mengikut negeri, setakat ini seramai 69 kontak rapat dikenalpasti dan sembilan daripadanya positif di Johor.

Manakala di Melaka pula sebanyak 11 kes kontak rapat dikesan dan tiada kes positif dilaporkan.

Di Selangor pula, sebanyak 18 kes kontak rapat dikesan dan disaring sebelum mendapati satu kes positif Covid-19.

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 21 kes kontak rapat dikesan namun tiada kes positif dilaporkan dan di Terengganu seramai enam kontak rapat dikenalpasti tetapi tiada kes positif Covid19. – MalaysiaGazette