Pasukan Kuching FA.

KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) mengesahkan status Kuching FA berada dalam keadaan terkawal selepas lima pemain mereka didapati positif Covid-19 yang berpunca daripada Kluster Sentosa.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata MFL sentiasa memantau keadaan pasukan itu sehingga mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kuching, Sarawak bagi tujuan kelulusan untuk mengadakan perlawanan persahabatan.

“Buat masa ini keputusan untuk kelima-lima pemain sudah negatif ketika diambil di hospital tempoh hari dan mereka sudah dipindahkan dari hospital ke Kompleks Belia dan Sukan di Kuching, Sarawak.

“Pihak hospital akan membuat pemantauan dari sana dan mereka akan dikuarantinkan selama 14 hari.

“Bagi pemain dan pemain yang lain, kesemuanya didapati negatif untuk Ujian Calitatan (Swab Test) yang pertama dan ujian kedua akan dibuat esok sehingga Khamis depan di mana kesemua pegawai dan pemain akan tamat kuarantin pada 7 Ogos ini.

“Sementara itu, MFL dapat mengesahkan bahawa sifar kes berkaitan dengan pemain Kedah FA di mana pemain itu didapati bebas dari Covid-19 dan telah dicaj keluar dari hospital pada 31 Julai lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, MFL telah mengumumkan Liga Malaysia 2020 kembali bersambung pada 26 Ogos depan selepas ditangguhkan sejak 16 Mac lalu disebabkan pandemik COVID-19.

Keputusan menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL itu dicapai selepas menilai banyak faktor termasuk tempoh persiapan pasukan-pasukan bertanding dalam memastikan kualiti Liga Malaysia lebih kompetitif dan berkualiti biarpun pihak kerajaan Malaysia telah membenarkan kejohanan kontak fizikal tanpa kehadiran penonton bermula 15 Ogos ini.

Sementara itu, Dato’ Ab Ghani mengingatkan supaya kesemua pasukan mematuhi Standard Operasi Prosedur (SOP) yang telah ditetapkan oleh MFL ketika beraksi di dalam gelangang manakala SOP KKM ketika berada di luar venue dalam usaha memutuskan rantaian pandemik COVID-19.

“Nasihat saya adalah kesemua pasukan harus mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh MFL ketika menjalani sesi latihan atau bermain sukan kontak fizikal.

“Tidak dilupakan juga SOP KKM dengan mengamalkan memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal di mana kita semua tidak boleh alpa atau leka kerana pemain serta pegawai sekarang adalah ‘frontliner’ untuk Liga Malaysia dan bersama kita melawan COVID-19,” katanya. – MalaysiaGazette