Kerajaan membuat keputusan untuk mengekalkan subsidi kos kuarantin yang dikenakan kepada warga negara Malaysia seperti sebelumnya.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pelajar Malaysia Turki (MASAT) terpaksa membuka semula tabung kecemasan bagi membantu para pelajar Malaysia yang tidak berkemampuan untuk menangung kos kuarantin wajib yang ditetapkan oleh kerajaan.

Ini kerana, sebilangan pelajar Malaysia yang sudah membeli tiket penerbangan pulang tidak menyangka bahawa mereka wajib membayar kira-kira RM2100 untuk menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin yang telah ditetapkan pihak berwajib.

Ada juga pelajar yang tersekat di pusat kuarantin akibat tidak mampu menampung kos kuarantin yang agak tinggi di samping kehabisan wang setelah membeli tiket penerbangan yang mahal.

MASAT juga mengalu-alukan kerjasama orang ramai bagi meringankan beban para pelajar yang ingin pulang dan menjalani kuarantin wajib di Malaysia.

Hasil sumbangan juga akan digunakan untuk meringankan beban para pelajar yang tidak dapat pulang ke tanah air.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini berkata, rakyat Malaysia perlu membayar maksimum RM2100 atau 44 peratus untuk caj bilik hotel dan makan sebanyak tiga kali sehari.

Bermula 24 Julai lalu, kerajaan memutuskan supaya semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan warga asing dibenarkan masuk ke negara ini perlu menjalani perintah kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin ditetapkan kerajaan.

“Mereka yang terbabit perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin termasuk kos ujian saringan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan Selasa lalu.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Bendahari Persatuan Pelajar Malaysia di Turki, Ahmad Haziq Husaini Ahmad (MAYBANK :164481281967). – MalaysiaGazette