Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Lebih 4.5 juta rakyat telah menerima RM50 dalam e-dompet masing-masing dalam tempoh tiga hari pertama ePenjana dilancarkan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, kerajaan telah melancarkan inisiatif ePenjana bermula 31 Julai lalu bagi merangsang perniagaan runcit dan membudayakan pembayaran secara digital.

ePenjana boleh ditebus menggunakan salah satu daripada tiga penyedia e-dompet iaitu Touch ‘n Go e-wallet, GrabPay dan Boost.

Tambahnya, sejak ePenjana diumumkan, bilangan pengguna aplikasi MySejahtera telah bertambah lebih dua juta orang kepada 9.4 juta.

“Pengguna juga mesti memuat turun aplikasi MySejatera yang terkini. Versi aplikasi lama tidak boleh mendapat bantuan ePenjana.

“Selain itu, penambahbaikan saringan telah dibuat dalam proses verifikasi dan kelulusan.

“Ini adalah ekoran beberapa cabaran yang dihadapi pemogon terutamanya dari segi padanan nama dalam pangkalan data.

“Cuma saya ingin mengingatkan jangan menggunakan nama manja seperti Superman, Boboi dan Achik ketika mendaftar. Memang tidak akan dapat,” katanya ketika membentangkan Laporan Laksana Ke-15 hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut memaklumkan, setakat 31 Julai lalu, seramai 4.3 juta penerima telah berjaya menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) ketiga sebanyak RM2.7 bilion.

Proses rayuan akan dibuka bermula 7 Ogos ini sehingga 6 September depan.- MalaysiaGazette