KUALA LUMPUR – Berasaskan bulan ke bulan, Indeks Nilai Seunit Eksport bulan Jun 2020 menyusut sedikit 0.02% kepada 109.9 mata.

Kejatuhan ini disebabkan oleh kejatuhan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (-5.8%), barang-barang keluaran kilang (-0.4%) dan minyak galian (-0.1%).

Manakala, indeks volum eksport meningkat 32.3% kepada 141.7 mata yang disebabkan oleh peningkatan indeks alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+39.9%), pelbagai barang keluaran kilang (+38.1%) dan barang-barang keluaran kilang (+27.9%).

Bagi data pelarasan musim, indeks volum eksport mencatatkan peningkatan 42.2% kepada 151.2 mata, kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.

Berbanding tahun sebelumnya, indeks volum eksport menokok 14.1% manakala indeks nilai seunit eksport jatuh 4.6%.

Menurutnya, dalam tempoh tersebut, indeks nilai seunit import merekodkan penyusutan 0.7% kepada 112.4 mata yang disebabkan oleh kejatuhan indeks minyak galian (-3.8%), bahan kimia
(-0.5%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-0.3%).

Sementara itu, indeks volum import merekodkan peningkatan 19.4% kepada 125.3 mata.

Kenaikan ini disebabkan terutamanya oleh peningkatan indeks minyak galian (+44.2%), barang-barang keluaran kilang (+26.6%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+12.4%).

Bagi data pelarasan musim, indeks volum import pada Jun 2020 meningkat 30.0% kepada 131.6 mata.

Berbanding tahun sebelumnya, kedua-dua indeks nilai seunit dan indeks volum
import masing-masing mencatatkan penurunan 4.8% dan 1.2%.”

Dalam masa yang sama, Jabatan Perangkaan Malaysia turut melaporkan terma perdagangan Malaysia meningkat 0.6% kepada 97.8 mata berbanding Mei
2020.

Berasaskan tahun ke tahun, terma perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan kecil sebanyak 0.2% daripada 97.6 mata. – MalaysiaGazette