Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR – Kajian untuk menggubal undang-undang khas bagi menangani kes menghina mahkamah sedang dilakukan Jabatan Peguam Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kajian itu yang sebelum ini dirintis pada 2010 akan membawa kepada draf berhubung perundangan khas tersebut yang kemudiannya disiapkan dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata, draf undang-undang khas itu kemudian dirujuk ke pihak mahkamah dan menerima maklum balas yang baik untuk diteruskan.

“Pada 2016, draf undang-undang ini sudah di peringkat pengesahan bahagian penggubalan akta di Jabatan Peguam Negara.

“Tetapi setahun kemudian, Kementerian Dalam Negeri (KDN) buat pindaan terhadap Akta Hasutan 1948 yang membabitkan peruntukan menghina mahkamah iaitu pada Seksyen 3(1)(c),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen (Batu Sapi-Warisan), Datuk Liew Vui Keong mengenai sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan undang-undang khas seperti Akta Pentadbiran Keadilan (Perlindungan) 2016 di Singapura bagi menangani kes menghina mahkamah yang kian meningkat.

Takiyuddin menambah, rangka perundangan khas itu terpaksa dikaji semula supaya ia selaras dengan pindaan undang-undang berkaitan di peringkat kerajaan. – MalaysiaGazette