Rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara mulai semalam diarah menjalani proses kuarantin wajib di Stesen Kuarantin ditetapkan kerajaan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Sejak 24 Julai sehingga 4 Ogos lalu, seramai 13 individu yang baru pulang dari luar negara telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas gagal saringan Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam tempoh 12 hari itu, seramai 5,355 individu telah tiba dari luar negara melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan dikuarantikan di 21 hotel dan lima institut latihan awam di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor, Perak dan Johor.

“Mereka telah pulang dari 28 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis dan Australia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, semalam, Polis Diraja Malaysia telah melakukan 1,969 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.

Susulan itu, seramai individu telah diambil tindakan kerana gagal mematuhi prosedur standard operasi kuarantin di rumah yang telah ditetapkan.

Dalam perkembangan berbeza, polis telah menahan 127 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Daripada jumlah itu, seramai lapan individu telah direman manakala 119 individu pula dikenakan kompaun.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti yang tidak mengikuti SOP (65) dan aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (62).- MalaysiaGazette