Hishammuddin Hussein.

KUALA LUMPUR – Malaysia berkongsi rasa sedih dengan kejadian letupan dahsyat yang berlaku di pelabuhan Beirut, Lubnan petang semalam.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn berkata, Malaysia akan membantu Lubnan apa sahaja mengikut kemampuan.

“Malaysia tumpang bersedih dan sentiasa mendoakan rakyat  Lubnan yang kita percaya amat tabah mendepani ujian ini. InsyaAllah, Malaysia akan bantu apa sahaja yang terdaya.

“Laporan awal dari Perwakilan Malaysia di Beirut, semua rakyat Malaysia di sana selamat dan telah dinasihatkan agar kekal berada di rumah masing-masing,” katanya di laman Facebook miliknya.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan sehingga kini 73 penduduk terkorban, manakala 3,700 lagi cedera dalam insiden berkenaan.

Letupan dahsyat petang semalam yang menggegarkan ibu kota ini dan mengakibatkan ribuan cedera, didakwa berpunca daripada 2,750 tan baja ammonia nitrat yang disimpan bertahun-tahun di kawasan gudang pelabuhan itu.

Perdana Menteri Lubnan, Hassan Diab berkata, baja kimia untuk pertanian itu adalah punca letupan yang membawa malapetaka kepada penduduk ibu kota.

Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan sehingga kini lebih 70 penduduk terkorban, manakala 3,700 lagi cedera dalam insiden berkenaan.- MalaysiaGazette