Dr. Adham Baba

KUALA LUMPUR – Langkah meningkatkan pengawasan terhadap mereka yang bergejala, antara salah satu tindakan pengesanan yang diambil pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memantau penularan wabak Covid-19, khususnya di Sabah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, jangkitan wabak yang berlaku di negeri itu dipengaruhi pelbagai faktor kerana penerimaan kemasukan dari pintu masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan pantai tertentu.

Katanya, pengesanan dilakukan dengan cara meningkatkan pengawasan dalam kalangan mereka yang bergejala.

“Penyakit Covid-19 ini 80 peratus tidak bergejala dan 20 peratus bergejala.

“Mereka yang bergejala kita saring dan kita rawat. Tetapi mereka yang tidak bergejala, kita minta supaya jika ada kontak rapat, mereka tampil untuk kita saring,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen (Bersatu-Beufort), Datuk Azizah Mohd Dun apabila meminta penjelasan mengenai bentuk saringan yang dijalankan di Sabah untuk mengekang penularan Covid-19.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (Bandar Kuching-DAP) Kelvin Yii Lee Wuen mengenai klasifikasi kes positif menggunakan ujian RT-PCR bagi mengelak tanggapan segelintir pihak bahawa Malaysia menyembunyikan perangkaan sebenar wabak Covid-19, Adham berkata, proses saringan wabak itu berupaya memberi keputusan ralat sekiranya ujian di makmal tidak dilaksanakan mengikut prosedur.

Beliau menjelaskan, kadar positif Covid-19 di negara ini hanya 0.96 peratus, menggunakan ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR).

Katanya, kementerian turut menggunakan kit ujian pantas (RTK) antigen, dengan ketepatan mencukupi dan berupaya memberi keputusan dalam tempoh singkat.

“Untuk RT-PCR, interpretasi yang salah boleh berlaku sekiranya makmal tidak ikut prosedur sebenar seperti jika kita kesan satu gen sahaja, seeloknya ia tidak boleh dianggap atau diandaikan keputusan positif.

“Ia perlu dibuat semula, calitan sekali lagi untuk dapatkan yang kedua iaitu gen pengesahan dipanggil RDRP (RNA dependent RNA polymerase).

“Baru kita boleh anggap ia sebagai positif. Setakat yang kita laksanakan termasuk di Sarawak dan Kedah, sebanyak 9,003 kes dikesan positif.

“Ia reliable (boleh dipercayai) buat masa ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast