Nilai pasaran industri perkhidmatan penghantaran makanan secara dalam talian dijangka terus meningkat sebanyak 17.9 peratus atau US$370 juta dalam tempoh empat tahun lagi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.- Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Nilai pasaran industri perkhidmatan penghantaran makanan secara dalam talian dijangka terus meningkat sebanyak 17.9 peratus atau US$370 juta dalam tempoh empat tahun lagi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata sasaran peningkatan itu adalah berikutan penularan pandemik COVID-19 yang mengubah cara hidup masyarakat kepada normal baharu dengan kebanyakan aktiviti dilakukan secara dalam talian termasuk memesan makanan.

Katanya, menurut unjuran pasaran Statista (2020), nilai pasaran industri perkhidmatan penghantaran makanan secara dalam talian di Malaysia setakat ini mencecah US$192 juta, melibatkan 6.2 juta pengguna.

“Peningkatan nilai pasaran industri itu menyasarkan segmen terbesar daripada penghantaran dari restoran kepada pengguna iaitu US$137 juta berbanding US$55 juta bagi segmen pelantar kepada pengguna.

“Industri penghantaran makanan di bawah ekonomi gig ini seharusnya bertunjangkan kepada konsep pendigitalan. Ia menjadi agenda utama kerajaan yang sedang dirangka oleh Unit Perancang Ekonomi serta Majlis Tindakan Ekonomi dalam pelan pemulihan ekonomi jangka sederhana dan jangka panjang,” katanya dalam ucapan pada Majlis Penyerahan Motosikal AEON Rider di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Arthur Joseph Kurup.

Menurut Mustapa, pelan pemulihan ekonomi jangka sederhana dan jangka panjang itu bakal diumumkan menjelang Oktober ini yang melihat kepada pembaharuan pasaran kerja, isu pelaburan berkualiti dan ekonomi digital.

Pada majlis itu, Kumpulan Syarikat AEON Malaysia melalui Yayasan AEON Malaysia (MAF) menyumbang 300 motosikal baharu bagi projek AEON Rider untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada individu yang hilang punca pendapatan akibat penularan COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif AEON Retail Malaysia, Shafie Shamsuddin berkata pihaknya tampil dengan inisiatif tersebut bagi membantu individu yang terkesan akibat pandemik itu, malah motosikal yang digunakan juga disediakan oleh syarikat berkenaan.

“Dengan kerjasama MAF, AEON Rider mampu meningkatkan keupayaan kami untuk menjalankan beberapa program bersama yayasan tersebut yang memerlukan perkhidmatan penghantaran,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana individu yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada keluarga AEON Rider boleh memohon kepada syarikat berkenaan mulai sekarang.

Projek AEON Rider menawarkan gaji kasar sebanyak RM1,200 bagi tempoh setahun dengan tambahan caj penghantaran.

Pekerja yang menunjukkan prestasi kerja yang baik akan diberi hak milik kekal bagi motosikal berkenaan termasuk menjadi pekerja tetap AEON Malaysia.- BERNAMA