Polis memantau kawasan Bukit Broga yang masih belum dibuka kepada orang ramai.

KUALA LUMPUR – Dua individu ditahan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana melakukan aktiviti pendakian Bukit Broga, di Semenyih.

Manakala 26 orang lagi dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 di kesalahan di bawah Seksyen 18 Peraturan 10/11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, kata Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan.

Menurutnya, tindakan itu susulan pemantauan yang dilakukan oleh pasukan pemantauan Ops Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada 8 dan 9 Ogos lalu.

”Polis Kajang ingin menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti pendakian Bukit Broga buat masa ini kerana masih ditutup. Sebarang pelanggaran akan diambil tindakan,” katanya.

Kawasan pendakian Bukit Broga, Selangor diperintah ditutup bermula 27 Jun lalu sehingga satu tempoh yang dimaklumkan kemudian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya mengenainya sebelum ini berkata, keputusan itu dibuat selepas terdapat laporan bahawa tiada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dilaksanakan. – MalaysiaGazette