Datuk Mohd Azis Jamman (tengah, berkerusi roda) selepas merasmikian penutupan Kursus Pemantapan Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parlimen Sepanggar di Kota Kinabalu, Sabah semalam.

KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman melahirkan keyakinan pucuk pimpinan Parti Warisan di Sabah (PWS) akan meletakkan calon yang mempunyai jati diri serta tidak akan ‘melompat’ selepas menang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Katanya ini terbukti apabila baru-baru ini tiada seorang pun wakil rakyat Warisan yang menyertai kem sebelah meskipun dijanjikan imbuhan imbuhan wang ringgit yang berlipat ganda.

“Kita akan kekal berprinsip iaitu tiada satu pun orang wakil rakyat warisan melompat ke pihak sebelah. Ini terbukti wakil rakyat PWS sangat bermaruah serta tidak mudah untuk mengadai maruah mereka demi untuk kepentingan peribadi.

“Kita ucapkan syabas serta tahniah kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Karambunai, Azhar Matussin yang setia kepada Warisan meskipun telah banyak kali diganggu serta ditawarkan pelbagai imbuhan wang tunai yang banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Kursus Pemantapan Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parlimen Sepanggar di Kota Kinabalu semalam.

Hadir sama dalam program itu Ahli Majlis Tertinggi PWS, Azhar Matusin.

Mohd Azis yang juga Ketua Bahagian Warisan Sepanggar sendiri pernah ditawarkan wang tunai serta jawatan menteri penuh di peringkat persekutuan ketika pergolakan politik berlaku pada Mac lalu.

“Cuba bayangkan, saya merupakan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), menterinya adalah Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) ketika ini. Bukankah saya sangat penting baginya, bukan sedikit tawaran wang tunai yang dikemukakan ‘boleh jadi jutawan’ dalam sekelip mata.

“Saya teringat ketika berkempen pada PRU-14 lalu di sekitar pekan Manggatal, saya didatangi oleh seorang pengundi berbangsa Tiong Hua. Dia akan ludah muka saya jika beralih (melompat),” katanya.

Mohd Azis berkata, beliau bersama Azhar sudah membuktikan kepada rakyat Sepanggar mereka masih kekal bersama Warisan sekaligus berharap pengundi akan kekal memilih PWS pada PRN akan datang.- MalaysiaGazette