Datuk Sohaimi Shahadan

KUALA LUMPUR – Dewan Perdagangan dan Industri Asean (DPIA) julung kali melancarkan Konvensyen Founder Legend Sukses Sifu 2020 Khamis ini dengan menampilkan seramai 31 usahawan terkemuka yang berjaya dalam pelbagai sektor.

Pengarah program itu, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, konvensyen itu menyasarkan seramai 10,000 penonton yang akan disiarkan secara langsung menerusi media sosial
bermula 31 Ogos sehingga 4 September ini.

Antara usahawan yang ditampilkan adalah Presiden DPIA, Datuk Moehamad Izat Emir, Presiden Malaysia Book of Records, Tan Sri Danny Ooi, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Ameer Ali Mydin, Presiden Kumpulan Mofaz, Mohamad Fauzy Abdul Hamid dan Pengasas Malakat Mall/Brainy Bunch, Fadzil Hashim.

Selebriti yang berjaya dan menjadi idola seperti Pengarah syarikat Suhan Movies & Trading/pemilik ST, Rosyam Mart, Datuk Rosyam Noor, Presiden KRU Entertainment, Datuk Norman Abdul Halim, pemilik syarikat rakaman Mixology Music/Komposer/penyanyi, DJ Fuzz dan ramai lagi turut berkongsi tips kejayaan mereka, katanya.

Sohaimi yang juga merupakan Timbalan Presiden 1 DPIA memberitahu, kejayaan dan latar belakang mereka mampu menjadi pembakar semangat dan pendorong untuk semua
generasi dalam menceburi bidang keusahawanan.

“Ilmu dan rahsia pencapaian yang didedahkan itu boleh dijadikan panduan bagi mereka yang sedang tercari-cari haluan kerjaya untuk masa depan,” jelasnya.

Tambah beliau, kehidupan normal baharu, situasi sosial dan ekonomi global yang tidak menentu, menyaksikan semakin banyak program dilaksanakan melalui pelbagai platform media sosial, seperti Facebook, Instagram dan YouTube.

“Impak dan peranan media sosial dalam kehidupan seharian kita kini semakin hebat. Jadi, kami mengambil peluang untuk menggunakan ruang tersebut bagi menyiarkan program
Konvensyen Founder Legend Sukses Sifu 2020.

“Penonton boleh melayari Facebook, Instagram, YouTube dan Twitter selain portal Malaysia Post dengan menggunakan nama suksessifu2020 bagi mendapatkan pelbagai ilmu, penerangan serta motivasi yang sememangnya amat diperlukan oleh seseorang untuk bangkit berjaya selain memantapkan lagi usaha mereka untuk lebih dikenali dalam dunia diceburi,” katanya. – MalaysiaGazette